Lepas Trent dikecam teruk, Southgate pilih bintang buangan Chelsea pula kemudi tengah England


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Trent (kiri) gagal mempamerkan persembahan baik sebagai pemain tengah untuk England. — Agensi

PENGENDALI England, Gareth Southgate bersedia untuk membuat perubahan pada bahagian tengahnya untuk perlawanan terakhir Kumpulan C pada Rabu ini di Euro 2024 dengan membawa masuk Conor Gallagher bagi menggantikan Trent Alexander-Arnold.

Pasukan kendalian Southgate itu mendahului Kumpulan C dengan empat mata daripada dua perlawanan pembukaan mereka dan akan menyasarkan untuk menduduki tempat teratas menjelang aksi menentang Slovenia di Cologne, Jerman.

Trent yang kebiasaannya ditempatkan sebagai bek kanan untuk Liverpool, menjadi pemain tengah dan bergandingan bersama Declan Rice dalam perlawanan menentang Serbia dan Denmark menimbulkan pelbagai reaksi daripada penyokong.

BACA LAGI: Foden bukan tiada bakat, jangan sampai 'coach' bising pikul cabaran ketuai England

BACA LAGI: 'Dia galas tugas besar dan gagal', legenda Man United kecam bintang Liverpool tak layak main posisi tengah

Selain penyokong, tonggak The Reds juga mengundang kecaman hebat legenda Manchester United, Roy Keane terhadap permainannya yang melabel persembahan Trent berada di bawah par.

Bertemu Denmark yang dianggap pasukan lebih lemah berbanding England, pemain pertahanan Liverpool itu gagal menunjukkan kualitinya apabila diminta beraksi di posisi tengah.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak bermain 90 minit permainan dan khidmatnya digantikan dengan Gallagher dalam kedua-dua perlawanan dan graduan akademi Chelsea itu kini dijangka diberikan kesebelasan utama.

Gallagher yang kini difahamkan akan disingkirkan dari skuad Chelsea untuk saingan musim 2025/2026 dianggap pengganti terbaik untuk menggantikan Trent namun segalanya akan diketahui pada Rabu.

conor

Gallagher difahamkan akan meninggalkan Chelsea menjelang jendela perpindahan musim panas ini. Agensi

England perlu menang ke atas Slovenia untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya terjamin. Jika tewas dan tersingkir, boleh dilihat masa depan pengendali Gareth Southgate berada dalam bahaya.

Dalam pada itu, Rice tampil membela nasib Trent sambil menyifatkan pemain berkenaan sudah melakukan aksi yang cukup baik dalam menjaga jentera England dalam dua perlawanan awal ini.

“Ia lucu kerana orang ramai memanggil Trent untuk bermain di bahagian tengah. Hampir semua penyokong menyeru Trent bermain di bahagian tengah dan dia melakukannya tetapi tiba-tiba kalian tidak inginkan khidmatnya.

“Saya tidak faham. Saya akan mempertahankan semua rakan saya dan Trent adalah antara pemain terbaik yang pernah saya lihat. Trent boleh bermain di bahagian tengah.

"Saya telah melihatnya di England, saya telah melihatnya untuk Liverpool," kata tonggak Arsenal berkenaan memetik laporan The Athletic. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram