MALAM yang cukup sempurna buat ketua pasukan Penang FC, Rafael Vitor apabila dia menjaringkan gol dalam penampilan ke-100 bersama kelab itu menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi Liga Super pada Khamis.
Selain Vitor, penyerang import Penang FC, Rodrigo Dias kembali menemui sentuhan jaringan untuk Harimau Kumbang apabila dia menjaringkan gol pada separuh masa pertama.
Dalam malam yang penuh istimewa buat Vitor, skuad kendalian Akmal Rizal Rakhli bangkit di depan penyokong sendiri dekat Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang untuk memburu tiga mata.
BACA LAGI: Akmal Rizal mahu Penang guna kelebihan bangkit kalahkan KDN
BACA LAGI: Gigit jari atau tidur lena? Penang FC terlepas sain penyerang 'kesayangan' penyokong
Gol daripada Dias muncul pada minit ke-12 dan itu nyata melegakan pemain tersebut apabila mengalami kemarau jaringan.
Bukan itu saja, Penang berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-34 apabila gerakan satu dua berjaya disudahkan oleh Nik Akif Syahiran menerusi satu penyudah mudah.
KDN bagaimanapun ada beberapa kali cuba untuk mencabar pintu gol Penang. Namun begitu, ia tidak menghasilkan sebarang bahaya buat Sikh Izhan Nazrel.
Separuh masa kedua menyaksikan KDN yang mengatur serangan menerusi hantaran-hantaran pendek, cuba untuk mendapatkan jaringan.
Nik Akif (kiri) menjaringkan gol kedua Penang.
Namun begitu, ketumpulan penyudah jelas ketara ditampilkan oleh para pemain KDN hingga mengecewakan pengendalinya, Park Jae-hong.
Usaha keras Sang Kijang Emas itu nyata sia-sia apabila pertahanan KDN memboloskan sepakan penalti ketika permainan berbaki 15 minit.
Sepakan itu mudah untuk Vitor sempurnakan dan menjadikan malam yang cukup indah buatnya serta Harimau Kumbang yang berhasil memperoleh kemenangan kedua dalam saingan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram