'Dapat gangsa pun cukup bermakna', Roslin Hashim puji peningkatan prestasi Lee Zii Jia


  • Podium
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Zii Jia berjaya meraih gangsa di Sukan Olimpik 2024. — BAM

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berjaya mengukir senyuman buat rakyat Malaysia apabila berjaya meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada Isnin.

Kemenangan menerusi rubber game itu menyaksikan Zii Jia berjaya mengikut jejak langkah Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut meraih gangsa dalam beregu lelaki.

Persembahan Zii Jia itu diterima baik oleh majoriti penyokong sukan tempatan terutamanya lepas kempen mengecewakan semasa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

BACA LAGI: Bangkit lepas 'ditampar' Kunlavut, Zii Jia anggap gangsa Olimpik bukti usaha keras

BACA LAGI: Aksi terbang, poin 'silap ukur' hiasi comeback Zii Jia sumbang pingat kedua Malaysia

453970464_904771385021363_3673323612984839965_n

Zii Jia bangkit dari ketinggalan satu set untuk menangi aksi penentuan pingat gangsa. — MOM

Malah, ia turut diakui oleh bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim, yang berpendapat prestasi Zii Jia semakin meningkat.

Peningkatan prestasi itu dibuktikan apabila pemain berusia 26 tahun itu berjaya membawa pulang pingat untuk negara.

"Kalau kita lihat kepada pencapaiannya itu, kita boleh kata pencapaiannya bagus sebab dia berjaya bawa pulang satu lagi pingat.

"Walaupun pingat itu adalah gangsa tapi ia sudah cukup bermakna. Maksudnya di sini, pencapaiannya lebih baik berbanding semasa di Tokyo," kata Roslin kepada Majoriti.

Tambah Roslin lagi, dia memuji kualiti Zii Jia yang berjaya bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain tersebut di set kedua dan ketiga.

Tindakan Zii Jia memperkemas permainannya di set kedua nyata membuahkan hasil dan ia memudahkan pemain tersebut untuk menewaskan Sen.

"Walaupun tewas di set pertama, tapi dia kembali semula pada set kedua. Dia membaiki corak permainan dan game plan di set kedua.

"Apabila sudah menguasai set kedua, kita boleh nampak keyakinannya sudah kembali dan ia terserlah pada set penentuan," jelasnya.

Melihat kepada isyarat jari yang diberikan oleh Zii Jia usai meraih mata kemenangan, ia seolah-olah memberikan mesej kepada sesetengah pihak yang meragui kemampuannya selama ini.

Walaupun begitu, Roslin berpendapat hanya Zii Jia saja yang tahu apa yang dimaksudkannya dengan isyarat itu.

"Hanya dia saja yang tahu apa yang dia maksudkan. Jika kita lihat selepas perlawanan semasa temu ramah, dia meluahkan segala yang dipendam selama ini (terutamanya) kecaman yang diterima, mungkin ada kaitan dengan isyarat yang dia lakukan.

"Pada dia, apa yang diluahkan itu kita pun boleh rasa apa sebenarnya yang dia pendam. Apa yang dia buat, tunjuk isyarat semua itu, dia saja yang tahu," jelas Roslin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram