PERLAWANAN antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman FC sentiasa menghiburkan. Baik ketika diadakan di Stadium Sultan Ibrahim atau Stadium Darul Aman, pasti ada cerita menarik terhasil.
Dalam perlawanan ini, walaupun sering dikuasai oleh JDT tetapi Kedah selalu memberikan saingan sengit. Malah, terdapat beberapa nama yang pernah hadir dan menyakitkan hati Harimau Selatan baik di gelanggang sendiri atau lawan.
Nama-nama ini akan sentiasa mekar dalam hati penyokong Kedah kerana walaupun impaknya sementara tetapi kenangan itu kekal selamanya.
BACA LAGI: Umum hampir 30 penaja, Kedah sasar peroleh 100 rakan niaga di masa depan
BACA LAGI: 'Aidil Sharin kekal badi Kedah'
Tembakan sniper Baddrol
Pemain yang kini menjadi ahli politik, Baddrol Bakhtiar sentiasa dikenali sebagai antara pemain tengah terbaik di Malaysia pada zaman kemuncaknya.
Dikenali sebagai ikon bola sepak Kedah, Baddrol turut dikenali sebagai The Sniper kerana kehebatannya merembat bola dari luar kotak penalti.
Baddrol (tengah) dianggap wira Kedah ketika Piala Sumbangsih 2017.
Pada 2017, rembatan kencang Baddrol ketika perlawanan Piala Sumbangsih di Larkin berjaya memerangkap JDT yang pada mulanya mendahului.
Jaringan itu mengheret JDT ke penentuan sepakan penalti dan ia membolehkan Kedah meraih kejuaraan pembuka musim itu di laman JDT.
Liridon masterclass
Seorang lagi pemain yang pernah menghantui JDT adalah pemain naturalisasi negara iaitu Liridon Krasniqi.
Liridon sentiasa diingat sebagai watak popular di Kedah walaupun pernah menyakitkan mereka dengan menyertai JDT. Namun persembahannya untuk Kedah pada 2018 cukup cemerlang.
Liridon beraksi cemerlang ketika bertemu JDT pada 2018.
Bertemu JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Liridon mempamerkan persembahan cemerlang untuk membantu Kedah menghasilkan kemenangan 3-1.
Satu bantuan gol serta satu jaringan pada minit akhir serta keraian ikonik dengan membuka jersi, ia pastinya mekar dalam ingatan para penyokong Kedah.
Hatrik bantuan gol Hidalgo
Satu lagi nama yang sering menghantui JDT adalah pemain sayap dari Argentina iaitu Manuel Hidalgo.
Persembahan cemerlang Hidalgo muncul pada musim 2023 apabila JDT bertandang ke Darul Aman dengan rekod tanpa kalah dalam Liga Super.
Kedah yang dihimpit masalah gaji, bagaimana pun tampil dengan persembahan cemerlang terutamanya daripada Hidalgo yang menghasilkan hatrik bantuan gol berdepan Harimau Selatan.
Persembahan cemerlang Hidalgo itu berjaya mencalar ego JDT dengan Kedah menjadi satu-satunya kelab berjaya mencuri mata daripada mereka musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram