LEE Zii Jia berpeluang untuk mengintai pingat Sukan Olimpik 2024 apabila berjaya melangkah ke suku akhir. Namun begitu, lawannya di peringkat tersebut bukanlah calang-calang.
Pemain Denmark, Anders Antonsen merupakan halangan Zii Jia untuk mendapatkan tempat di separuh akhir.
Kedua-dua pemain ini sering bertemu di Jelajah Dunia BWF, akan tetapi, di pentas Sukan Olimpik ceritanya pasti berbeza.
BACA LAGI: Zii Jia-Antonsen sering berlatih bersama, siapa buat silap akan tewas — legenda badminton negara
BACA LAGI: Lee Zii Jia mudah atasi wakil tuan rumah, Anders Antonsen menanti di suku akhir
Kedua-dua pemain mempunyai kekuatan masing-masing dengan Antonsen dikenali dengan corak permainan laju dan serangan bertali arus.
Sementara itu, Zii Jia terkenal dengan gerakan signature iaitu pukulan backhand smash yang sering memerangkap lawan.
Teknik itu akan dilakukan ketika Zii Jia melakukan serangan terhadap pihak lawan dengan pukul deras bertali-arus. Apabila pihak lawan bertahan dan memberikan bola tanggung, barulah Zii Jia akan melakukan backhand smash sebagai winner untuk mendapatkan mata.
Pukulan tersebut boleh dijadikan sebagai senjata rahsia yang boleh memerangkap Antonsen apabila kedua-duanya bertemu.
Rekod sengit
Melihat kepada statistik antara kedua-dua pemain, Zii Jia dan Antonsen mempunyai rekod yang begitu rapat dan sukar untuk dipisahkan.
Sepanjang karier, kedua-dua pemain ini sudah berjumpa sebanyak tujuh kali dengan semuanya dilakukan sewaktu Jelajah Dunia BWF.
Antonsen mempunyai sedikit kelebihan apabila memenangi empat berbanding Zii Jia dengan tiga.
Pertemuan terakhir adalah pada Malaysian Masters Mei lalu dengan Zii Jia memenangi perlawanan tersebut menerusi rubber game.
Namun begitu, dalam lima pertemuan terakhir, Antonsen mempunyai rekod lebih baik dengan mendahului 3-2.
Pertemuan di Sukan Olimpik adalah yang pertama antara kedua-dua pemain. Dengan potensi meraih pingat berada dalam pantauan, pastinya Zii Jia dan Antonsen akan memberikan segalanya pada perlawanan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram