Zii Jia-Antonsen sering berlatih bersama, siapa buat silap akan tewas — legenda badminton negara


  • Podium
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Zii Jia (kiri) dan Antonsen (kanan) pernah berlatih bersama-sama di Malaysia. — Agensi

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berdepan cabaran sebenar di suku akhir acara badminton Sukan Olimpik 2024 apabila bertemu wakil Denmark iaitu Anders Antonsen pada Jumaat.

Selepas menewaskan wakil Sri Lanka, Sepanyol dan Perancis, ujian sebenar Zii Jia adalah bertemu pemain perseorangan kedua Denmark yang pastinya memberikan cabaran sengit buatnya.

Cabaran yang diberikan nyata sengit kerana kedua-dua pemain sebenarnya pernah berlatih bersama sebelum ini.

BACA LAGI: RTM tidak sengaja siar aksi badminton atlet Olimpik Zionis berbanding Lee Zii Jia

BACA LAGI: Lee Zii Jia mudah atasi wakil tuan rumah, Anders Antonsen menanti di suku akhir

Oleh itu, bagaimana Zii Jia hendak menewaskan Antonsen? Menurut bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk James Selvaraj, pemain berusia 26 tahun itu cuma perlu bermain mengikut cara permainannya sendiri.

Katanya, Zii Jia tidak boleh terikut-ikut rentak yang cuba dibawa oleh Antonsen kerana ia akan memerangkap pemain itu sendiri.

453601861_902198148612020_1084933905265822797_n

Zii Jia perlu kuatkan permainan serangannya untuk tewaskan Antonsen. — MOM

Hal ini kerana, Antonsen merupakan seorang pemain yang melakukan serangan bertubi-tubi dengan tujuan untuk memaksa pihak lawan melakukan kesilapan.

"Mereka berdua ini adalah kawan-kawan. Dulu, Antonsen datang ke Malaysia untuk berlatih bersama. Jadi mereka saling memahami corak permainan masing-masing.Oleh itu, siapa yang buat kesilapan paling sedikit dia akan menang perlawanan itu.

"Corak permainan Antonsen pula bersifat bermain laju, dia punya pukulan laju-laju. Jika dia berada pada permainannya, pihak lawan pasti akan tewas," kata James kepada Majoriti.

Melihat kepada dominasi Antonsen ketika menyerang, James menasihatkan agar Zii Jia menggunakan pendekatan ibarat "api lawan api." Ia bermaksud Zii Jia tidak perlu bertahan tetapi teruskan saja menyerang.

Serangan yang diberikan Zii Jia sepatutnya untuk membuatkan Antonsen tidak bermain permainannya sendiri hingga melakukan kesilapan.

"Pertama sekali, dia perlu fokus dan bermain dengan permainan pantas. Yang penting, dia mesti fokus permainan menyerangnya.

"Jangan beri Antonsen peluang, dari awal lagi Zii Jia mesti mula menyerang. Jangan beri Antonsen sebarang peluang untuk bangkit dalam perlawanan," jelasnya.

James tidak menolak kemungkinan perlawanan antara kedua-dua pemain ini akan menjadi sengit. Dia menjangkakan kemenangan akan memihak Zii Jia menerusi kemenangan straight set.

Namun begitu, James menjangkakan keputusan akhir kutipan matanya adalah tipis antara kedua-dua pemain itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram