'Cabaran buat kami lebih kuat', Pearly Tan bangga jadi pasangan M Thinaah


  • Podium
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Thinaah (kiri) dan Pearly Tan tidak dapat menahan sebak selepas tewas dalam pertembungan penentuan pingat gangsa Olimpik 2024.

HUBUNGAN antara beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah sememangnya cukup istimewa kerana masing-masing memainkan peranan penting dalam melakar sejarah baharu.

Mereka yang layak ke separuh akhir Olimpik 2024 menyaksikan pasukan negara hampir membawa pingat pertama dalam kategori itu, namun berputih mata kepada gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Kekalahan berkenaan jelas memberi kesan mendalam terhadap kedua-dua atlet wanita itu apabila mereka tidak dapat menahan sebak selepas perlawanan itu berakhir.

BACA LAGI: Tak perlu pisahkan Pearly-Thinaah, BAM mesti kekalkan pakar psikologi elak 'bergaduh' semula

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mahu fight untuk orang sayangi kami', Pearly-Thinaah mahu bangkit pada aksi penentuan pingat gangsa

WhatsApp Image 2024-08-06 at 9.23.08 PM

Pearly Tan dan Thinaah membawa negara ke separuh akhir temasya Olimpik.

Tetapi, untuk menceritakan keakraban masing-masing, Thinaah mengutuskan hantaran cukup menyentuh hati yang meluahkan perasaannya terhadap pasangannya tersebut.

Luahan tersebut menerima respons penuh perasaan daripada Pearly Tan di media sosial peribadinya yang menceritakan rasa bangganya ke atas pasangannya itu kerana membantunya mencapai cita-cita beraksi di Olimpik.

"Maaf kerana saya sering mengalami kecederaan beberapa tahun kebelakangan ini dan membiarkan anda keseorangan untuk beraksi. Ia adalah satu kesukaran buat kita berdua, tapi saya bangga kerana awak sering di sisi.

"Minggu-minggu sebelum Olimpik juga cukup sukar, tetapi kita dapat menempuhinya bersama-sama dan sering menemui kekuatan dalam diri masing-masing.

"Halangan yang kita tempuhi, baik dari segi cabaran fizikal ataupun mental membuatkan kita lebih kuat. Apa yang tidak membunuh anda menjadikan anda lebih kuat, bukan?" katanya.

Jelasnya, hubungan dan memori pernah dicipta sepanjang berganding dengan Thinaah adalah lebih bernilai jika hendak dibandingkan dengan apa-apa pingat diraih.

"Tanpa anda, cita-cita saya beraksi di Olimpik tidak pernah akan tercapai. Terima kasih kerana menjadi pasangan dan rakan baik saya. Bersama-sama, kita akan takluk semuanya," tulis Pearly Tan lagi.

Sabtu lalu, pasangan tersebut tewas 11-21, 11-21 kepada gandingan Jepun yang berada di kedudukan keempat dunia dalam aksi selama 41 minit dalam pertembungan penentuan pingat gangsa di Adidas Arena, Port de la Chapelle, Paris. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram