AGREGAT 6-4 yang berpihak kepada Selangor FC memastikan mereka layak ke perlawanan akhir Piala FA 2024 selepas menyingkirkan Terengganu FC di pusingan kedua separuh akhir.
Kemaraan berkenaan sudah tentu cukup manis bagi penyokong skuad Gergasi Merah memandangkan mereka berjaya bangkit daripada kekalahan kepada pihak lawan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Julai lalu.
Namun, apa yang lebih menarik mengenai aksi di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu adalah apabila kapten pasukan, Safuwan Baharudin mencatatkan jaringan hatrik.
BACA LAGI: Kualiti kepimpinan Safuwan Baharudin jadi tunjang kejayaan Selangor
BACA LAGI: Sempat pergi rumah terbuka, Safuwan Baharudin kongsi detik sebelum Mickey disimbah asid
Kualiti penyudah Safuwan sememangnya bertaraf dunia. — Facebook/Selangor FC
Dua gol menerusi tandukan dan satu menerusi voli menyaksikan pemain kebangsaan Singapura itu membawa pulang bola perlawanan buat kali pertama dalam kariernya.
Meskipun ia agak mengejutkan, pengikut tegar Selangor FC sudah pasti tahu bahawa bek tengah itu sememangnya boleh diharapkan untuk memburu jaringan, terutamanya daripada situasi bola mati.
Tetapi, Safuwan bukanlah satu-satunya pemain pertahanan yang memiliki deria penyudah yang baik di hadapan gawang gol lawan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga bek yang mampu beraksi di mana-mana posisi pertahanan dengan rekod jaringan memuaskan sepanjang karier Liga Malaysia mereka.
1. Herold Goulon
Sepanjang empat tahun beraksi di arena bola sepak tanah air, Herold Goulon memiliki catatan jaringan cukup memberangsangkan, baik ketika dia mewakili Sri Pahang mahupun Negeri Sembilan FC.
Tubuhnya yang besar menyukarkan pertahanan lawan untuk menyekatnya setiap kali situasi bola mati dengan dia pastinya menjadi sasaran rakan sepasukan.
Tidak cukup dengan itu, pemain berdarah Perancis tersebut juga sering diberikan peranan untuk mengambil sepakan penalti, lebih-lebih lagi ketika memakai lilitan tangan kapten bersama skuad Jang.
Sentuhan penyudah Goulon disaksikan ketika di skuad Jang dan Tok Gajah. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Berdasarkan catatan dikeluarkan laman sesawang transfermarkt, bekas pemain Blackburn Rovers itu memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bagi Liga Super bagi seorang bek tengah.
Ini selepas dia menjaringkan 22 gol sepanjang beraksi di divisyen teratas bola sepak tanah air dengan ia merupakan satu rekod cukup baik bagi pertahanan.
Kini, Goulon difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir beraksi buat Negeri Sembilan FC musim lalu dengan faktor kecederaan menjadikannya sukar mencari destinasi baharu.
2. Rafael Vitor
Seorang lagi pemain pertahanan dengan kelebihan fizikal seakan-akan Goulon ialah kapten Penang FC, Rafael Vitor yang sudah bersama pasukan itu sejak 2020.
Pemain kelahiran Brazil itu yang berketinggian 1.92 meter sering memikul kepercayaan untuk memburu jaringan sama ada daripada sepakan penjuru ataupun sepakan percuma.
Malah, seperti Goulon, Rafael yang merupakan watak penting dalam barisan pertahanan turut memikul peranan untuk mengambil sepakan dari enam ela seperti ketika mereka berdepan Selangor FC di tempat lawan pada Julai lalu.
Kualiti penyudah Rafael disaksikan sepanjang lima tahun dia beraksi untuk skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Lebih menarik lagi, pemain tinggi lampai berkenaan memegang rekod sebagai antara penjaring terpantas apabila hanya memerlukan sembilan saat untuk menggegarkan gawang Perak FC pada 2021.
Perlawanan itu turut menyaksikan Rafael mencatatkan jaringan hatrik yang sekali gus membuka mata penyokong mengenai kebolehan bek tengah tersebut dalam menjaringkan gol.
Bintang yang sudah berusia 31 tahun itu masih kekal bersama skuad Harimau Kumbang buat tahun kelima dengan 100 penampilan Liga Super berjaya direkodkannya.
3. Stefano Brundo
Meskipun lebih kerap dilihat sebagai seorang pemain tengah bertahan, Stefano Brundo yang kini beraksi buat skuad Tok Gajah sebenarnya sering diturunkan dalam barisan pertahanan ketika di pasukan lamanya.
Jadi, ia membuktikan bahawa pemain dari Argentina itu sesuai untuk dikatakan seorang bek tengah prolifik meskipun baru sahaja setahun beraksi dalam Liga Super.
Berdasarkan rekod musim lalu, bek berusia 31 tahun tersebut merekodkan 10 gol dalam 24 penampilan Liga Super dengan catatan itu mengatasi beberapa penyerang, termasuk Tchetche Kipre dan Romel Morales.
Brundo lebih sesuai diletakkan di posisi bek tengah. — Facebook/Sri Pahang FC
Jaringan tersebut acap kali terhasil menerusi situasi bola mati dengan Brundo juga beberapa kali berjaya menjaringkan gol ketika mengambil sepakan percuma.
Persembahan itu diteruskan musim ini apabila dia menjadi wira Sri Pahang FC ketika berdepan Selangor FC apabila dia menghidu peluang menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan.
Namun, dari segi sepakan penalti pula, Brundo kemungkinan tidak akan memikul peranan itu selepas dia gagal menyempurnakan tendangan ketika mereka tewas kepada Negeri Sembilan FC pada Julai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram