CABARAN hebat menanti Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi separuh akhir kedua balik Piala FA 2024 apabila mereka bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Ahad.
Kelebihan kini berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang meraih kemenangan 2-1 dalam pertembungan pertama di Stadium Darul Aman, Kedah pada Julai lalu.
Selain itu, mutu pemain, sama ada tempatan mahupun import meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala FA buat tahun ketiga berturut-turut.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam ada badi, ini 3 kali Terengganu tersekat di separuh akhir Piala FA
BACA LAGI: Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA
Skuad Sang Kenari berada dalam fasa akhir persiapan. — Facebook/KDA FC
Tetapi, penyokong serta pemain KDA FC pastinya tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal kerana masih terdapat 90 minit untuk mereka mengubah keadaan.
Bagi bek kanan pasukan, Ariff Farhan Md Isa, kualiti dimiliki JDT perlu diakui melihat kepada tahun-tahun kebelakangan ini, namun ia tidak akan melunturkan semangat Sang Kenari.
"Ia akan menjadi satu cabaran kerana kita bukan sahaja berdepan pasukan itu, tetapi dengan puluhan ribu penyokong yang akan berada di stadium mereka.
"Mereka adalah juara bertahan, jadi sudah tentu persembahan terbaik akan ditampilkan di Stadium Sultan Ibrahim," kata pertahanan berusia 28 tahun itu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebelum ini, skuad Harimau Selatan pulang dengan kelebihan menerusi gol Oscar Arribas dan jaringan masa kecederaan daripada Romel Morales.
Ariff Farhan tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, Kedah menampilkan aksi cukup baik apabila berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan Habib Haroon sebelum gawang mereka dibolosi pada minit-minit akhir.
Dalam pada itu, Ariff yang kini merupakan watak penting bagi pasukannya turut menegaskan ketua jurulatih, Nafuzi Zain sudah menerapkan semangat juang hebat dalam kalangan pemain.
"Nafuzi sering mengingatkan kami bahawa jangan berasa gentar dalam bola sepak. Percaya dengan diri sendiri dan ia akan membawa kepada keputusan yang dimahukan.
"Ini adalah aksi kalah mati, tiada yang mustahil dalam bola sepak. Kita kekurangan satu gol, tetapi ia tidak akan menghalang kami," katanya.
Arif Aiman akan menjadi ujian terbesar buat Ariff dalam perlawanan itu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ditanya mengenai tugasan berat dalam perlawanan itu, Ariff menegaskan dia hanya mahu memberikan tumpuan 100 peratus sepanjang perlawanan berkenaan berlangsung.
"Kita tahu kualiti dimiliki JDT, mereka memiliki penyerang cukup bagus seperti Bergson (da Silva), Heberty (Fernandes) dan kali ini, Oscar yang sering menjaringkan gol juga.
"Di kawasan saya pula, saya akan berdepan Arif Aiman (Hanapi). Jadi, saya perlu berikatan fokus sepenuhnya setiap kali berdepan pemain itu," jelasnya.
Pasukan yang berjaya meraih kemenangan bakal berdepan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi perlawanan akhir pada 24 Ogos depan. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram