Tonik luar biasa, kehadiran insan istimewa lonjak semangat orang kuat Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Nidzam membantu skuad Gergasi Merah ke perlawanan akhir Piala FA 2024 selepas menumpaskan Terengganu FC. — Facebook/Selangor FC

KEBANGKITAN cukup bergaya dipamerkan Selangor FC dalam saingan separuh akhir Piala FA selepas mereka tewas dalam aksi pertama kepada Terengganu FC di tempat lawan.

Kekalahan berkenaan tidak mematahkan semangat mereka apabila anak-anak buah Nidzam Jamil menebus kekecewaan lalu dengan meraih kemenangan bergaya di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu.

Hatrik daripada kapten pasukan, Safuwan Baharudin dan satu gol daripada Reziq Bani Hani sudah cukup untuk menyaksikan agregat keseluruhan 6-4 berpihak kepada skuad Gergasi Merah.

BACA LAGI: Nidzam mahu Selangor bangkit, Tomi pilih taktik bertahan

BACA LAGI: Nidzam terima hakikat menang semata-mata belum cukup buat Selangor FC

453738322_1015431280588600_7696069248026667809_n

Safuwan yang mencatatkan hatrik untuk membawa skuad Gergasi Merah ke final Piala FA 2024.

Skor akhir itu jelas membawa keriangan kepada kira-kira 10,000 penyokong Selangor FC yang hadir bagi memberi sokongan tidak putus buat pasukan kesayangan mereka tersebut.

Tetapi, dalam ribuan yang hadir itu, terselit seorang individu yang cukup bermakna buat skuad Gergasi Merah, terutamanya Nidzam yang menjadi watak penting buat mereka.

Bagaimanapun, kehadiran tersebut tidak menjamin kemenangan buat Selangor FC memandangkan dia hadir dengan mesej berbeza daripada kebiasaan.

"Hari ini, saya di tempat jurulatih tempatan, jadi saya mahu berikan yang terbaik buat pasukan kesayangan semua orang, tetapi tentu ada persepsi masing-masing yang saya tidak dapat kawal.

"Anak saya datang hari ini (Sabtu) dan dia jarang hadir kerana dia kata terdapat kawan-kawan di sekolah yang mengatakan ayah awak akan dipecat," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

453749918_1015431323921929_8812013785770947226_n

Skuad Gergasi Merah pasti bercita-cita besar dalam perlawanan akhir nanti. Facebook/Selangor FC

Persepsi ditekankan Nidzam merujuk kepada desakan penyokong yang mahu melihatnya meninggalkan skuad Gergasi Merah berikutan prestasi kurang meyakinkan di tempat lawan.

Meskipun sudah menyuntik perbezaan, masih terdapat beberapa kekurangan dapat disaksikan dalam pasukan, terutamanya ketika mereka terdesak untuk mencari jaringan.

Namun, dengan sentuhannya membawa skuad Gergasi Merah ke pentas akhir Piala FA 2024, namanya pasti akan dijulang sebagai salah seorang jurulatih tempatan dengan potensi cukup tinggi.

"Saya penyokong Selangor dari kecil lagi, saya pernah bermain untuk Selangor dan sekarang saya bawa pasukan ini ke perlawanan akhir secara bersama-sama," katanya.

Skuad Gergasi Merah akan bertemu Johor Darul Ta'zim atau Kedah Darul Aman FC dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Ogos depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram