Sempat pergi rumah terbuka, Safuwan Baharudin kongsi detik sebelum Mickey disimbah asid


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Faisal sewaktu kemunculan pertamanya sejak insiden simbah asid. — Selangor FC

KAPTEN Selangor FC, Safuwan Baharudin mengakui turut berasa takut dan lebih berhati-hati selepas rakan sepasukannya iaitu Faisal Halim menjadi mangsa kejadian disimbah asid di sebuah pusat membeli-belah pada 5 Mei lalu.

Dalam satu temu bual bersama Maskulin, bek tengah Gergasi Merah itu tampil berkongsi kejadian sebelum insiden hitam berkenaan menimpa penyerang sayap kebangsaan tersebut.

Menurut pemain kebangsaan Singapura itu, kejadian berkenaan berlaku selepas Safuwan dan pemain Gergasi Merah termasuk Faisal baru sahaja selesai berkunjung rumah terbuka rakan mereka.

BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media

BACA LAGI: Kontrak Faisal Halim hingga 2027 terjamin — Selangor FC

"Saya memang terkejut sebab pada hari kejadian, kami dari rumah terbuka rakan. Minggu itu memang padat dengan rumah terbuka. Sebelum kemalangan itu, kami tanya nak pergi ke rumah dia (rakan) ini.

"Kalau pergi beritahu, jadi ramai-ramai boleh pergi. Jadi Mickey (Faisal) adalah orang pertama yang pergi majlis rumah terbuka itu. Sampailah lepas zuhur, saya ditelefon oleh salah seorang koordinator Selangor tapi saya tak angkat sebab penat.

"Bila saya bangun, saya telefon tanya kenapa. dia cakap tunggu sajalah nanti. Memang dalam WhatsApp group dah keluar gambar Faisal tengah duduk lepas disimbah asid itu. Selepas itu, semua kelam-kabut.

"Kami pemain pun tidak tahu nak buat apa. Sebab baru saja berjumpa dari rumah terbuka. Jadi masa itu memang tiada kepastian, saya cuma cakap benda ini betul tapi jangan sebarkan selagi tidak rasmi," kongsinya memetik video temu bual yang dimuat naik Maskulin pada laman TikTok mereka.

Dalam pada itu, kejadian yang tidak disangka berlaku itu ternyata memberi kesan secara mendalam kepada seluruh ahli pasukan juga sehingga pemain berusia 32 tahun berkenaan terpaksa mengasingkan diri.

Memetik laporan dari laman berkenaan, Safuwan selaku ketua terpaksa memencilkan diri seketika demi memahami punca rakan sepasukannya turut serta menjadi tertekan sebegitu.

“Saya rasa selepas kejadian itu, hampir dua minggu juga kami bergaduh sesama sendiri. Antara satu sama lain, memang aura itu sudah lain.

“Mungkin disebabkan kami semua pun balik rumah rasa takut. Datang berlatih pun rasa takut,” tambahnya.

Selepas hampir dua bulan kes berkenaan, tahap kesembuhan pemain sayap itu kini menghampiri tahap pulih sepenuhnya selepas bapanya, Halim Saad mengatakan ia sudah mencapai 95 peratus.

Menurut Halim, Faisal menunjukkan perkembangan cukup baik dan ia dapat dilihat apabila pemain itu melakukan senaman ringan serta fisioterapi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram