[VIDEO] Tetap bangga, 4 pencapaian hebat skuad hoki negara walaupun kemarau 24 tahun ke Olimpik


  • Podium
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Skuad hoki negara masih ada pencapaian baik yang pernah diukir meskipun tidak layak ke Olimpik Paris 2024.

TIDAK guna menuding jari kepada mana-mana pihak berikutan kegagalan skuad lelaki negara menamatkan kemarau 24 tahun untuk beraksi di pentas temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis selepas kali terakhir layak pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Ia selepas Speedy Tigers mengakhiri kempen kelayakan 2024 di Oman pada kedudukan tercorot dalam aksi peringkat kumpulan pada Januari lalu.

Biarpun pahit untuk ditelan, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) harus memikirkan sesuatu bermula sekarang kerana skuad negara akan menghadapi satu lagi kitaran kelayakan terutama Sukan Olimpik 2028 dan Olimpik 2032.

BACA LAGI: Piala Sultan Azlan Shah medan terbaik Sarjit Singh bentuk pasukan — Mirnawan Nawawi

BACA LAGI: Tak semua boleh main posisi penjaga gol — S Kumar

Namun dalam kegagalan Speed Tigers gagal layak ke Olimpik Paris, masih ada pencapaian baik yang pernah diukir pasukan hoki negara ini.

Majoriti senaraikan empat pencapaian terbaik skuad hoki negara sepanjang 24 tahun tidak layak ke Olimpik Paris yang sedang hangat berlangsung di Perancis:

1. Piala Sultan Azlan Shah 2022 (Juara)

Selepas 39 tahun tidak pernah dinobatkan sebagai juara Piala Sultan Azlan Shah, akhirnya Speedy Tigers berjaya menghapuskan badi itu pada 2022.

Skuad hoki lelaki negara mencipta kejayaan bersejarah itu apabila merangkul trofi Piala Sultan Azlan Shah selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi final di Ipoh, Perak pada November 2022.

Kemenangan di Stadium Hoki Azlan Shah itu adalah gelaran juara yang pertama buat Malaysian Tigers sekali gus menamatkan penantian 39 tahun sejak edisi pertama kejohanan tersebut dianjurkan pada 1983.

Tiga gol skuad kendalian Arul Selvaraj itu dalam perlawanan akhir tersebut dijaringkan oleh Shello Silverius, Muhammad Razie Abd. Rahim dan Muhamad Aminuddin Mohd. Zain.

2. Piala Juara-Juara Asia (Naib Juara)

Skuad hoki lelaki negara terlepas peluang mencipta sejarah apabila akur menjadi naib juara Kejohanan Hoki Piala Juara-Juara Asia (ACT) selepas tumbang 3-2 kepada tuan rumah, India, di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai pada 13 Ogos 2023.

Sejak penganjuran edisi pertama pada 2011, Malaysia memenangi tempat ketiga dalam lima edisi berturut-turut sehingga 2018 sebelum terpaksa menarik diri dalam edisi dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Ketika itu, berdasarkan rekod di atas kertas, India jelas pasukan yang lebih baik berada di ranking keempat dunia manakala Malaysia pula di ranking ke-10.

3. Piala Asia 2022 (Naib Juara)

Skuad hoki lelaki kebangsaan terlepas peluang untuk mencipta sejarah muncul juara Piala Asia buat kali pertama apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi final di Stadium di Gelora Bung Karno di Jakarta pada 1 Jun 2022.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak Piala Asia diperkenalkan pada 1982 adalah kejayaan muncul naib juara pada edisi terdahulu (2017) di Dhaka, Bangladesh dan tempat ketiga pada 2007 di India.

Dalam kejohanan itu, tonggak pertahanan negara Muhammad Razie Abdul Rahim berjaya menjaringkan 13 gol, dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Asia kali ini, jauh meninggalkan pencabar terdekat Koji Yamasaki dari Jepun yang mempunyai enam gol.

4. Sukan Asia 2018 (Naib Juara)

Skuad negara gagal meraih emas pertama di Sukan Asia dan tiket awal ke Olimpik Tokyo.

Ia selepas The Speedy Tigers gagal mempertahankan kelebihan gol apabila tumbang 1-3 kepada Jepun menerusi penentuan shoot-out.

Dalam perlawanan itu, The Speedy Tigers mendahului lawan 4-2 pada separuh masa pertama namun tidak mampu mengekang kebangkitan Jepun yang berjuang sehingga wisel penamat untuk melakar keputusan seri 6-6. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram