Liridon sanggup beraksi tanpa gaji, pelik tak dapat sebarang tawaran Kedah


  • Podium
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Liridon meluangkan lima tahun bersama skuad Sang Kenari sebelum berkelana ke Melaka United pada 2019.

SKUAD Sang Kenari mengalami kekecewaan selepas mereka tersingkir daripada saingan Piala FA kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan 1-5 secara agregat.

Kekalahan 0-3 dialami di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad sudah tentu sukar diterima penyokong yang amat mengharapkan pasukan itu dapat melangkah ke peringkat akhir.

Jadi, untuk meluahkan perasaan tersebut, rata-rata daripada mereka membanjiri media sosial Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan harapan kelab Utara tanah air berkenaan dapat bangkit daripada keputusan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Walau hanya ada lencana Sang Kenari, fans puji jersi baharu KDA FC

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jualan air mineral KDA FC lebih efektif berbanding produk Vida semasa di Kelantan'

WhatsApp Image 2024-08-05 at 12.15.59 PM

Liridon tertarik dengan peluang untuk kembali ke pangkuan Kedah.

Namun, di sebalik ratusan komen yang ditinggalkan, penyokong Hijau Kuning menyedari bekas pemain tengah skuad Sang Kenari, Liridon Krasniqi turut meninggalkan kata-kata buat pasukan berkenaan.

"Telefon saya tidak berdering, saya amat bercita-cita untuk pulang. Saya sanggup beraksi tanpa bayaran gaji kerana saya hanya mahu membantu, inilah masa untuk Kedah kembali bersinar," katanya.

Komen berkenaan jelas menerima respons baik daripada penyokong yang bercita-cita besar untuk menyaksikan pemain itu kembali menyarung jersi pasukan itu.

Manakan tidak, Liridon atau juga dikenali sebagai Mat Don pernah menjadi wira Sang Kenari apabila pernah beraksi buat kelab tersebut selama lima tahun bermula 2015.

Selain memiliki fizikal yang cukup baik, pemain berusia 32 tahun berkenaan memiliki kebolehan untuk mengawal tempo permainan dengan hantaran dan keyakinan dalam membawa bola ke kawasan berbahaya.

20A05C31-72DA-48A7-B6C9-4ACBD1EFB016

Liridon beraksi untuk separuh musim buat skuad Sang Penyu pada 2023. Facebook/Terengganu FC

Pemain kelahiran Kosovo itu kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir beraksi dalam Liga Super buat Terengganu FC secara pinjaman dari JDT musim lalu.

Meskipun berkali-kali memasang cita-cita untuk kembali ke pangkuan Kedah, harapan itu tidak tercapai dengan pasukan berkenaan memiliki perancangan berbeza.

Tetapi, dengan skuad bimbingan Nafuzi Zain itu tidak memiliki lambakan pilihan di bahagian tengah, kemasukan Liridon sudah tentu akan membawa dimensi baharu buat KDA FC.

Kerelaannya untuk beraksi tanpa bayaran mahupun permintaan gaji yang rendah sudah tentu membuka pintu lebih luas memandangkan Kedah sedikit terpalit dengan isu gaji dua tahun kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram