DALAM usaha mengelak isu kewangan berulang, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengambil keputusan mengeluarkan beberapa produk sendiri yang bakal dijual pada hari perlawanan.
Pendekatan berkenaan mendapat respons berbeza apabila segelintir penyokong beranggapan penjualan barangan seperti produk minuman dan produk lain tidak dapat menyalurkan wang secara konsisten seperti mana diharapkan.
Tidak cukup dengan itu, mereka beranggapan penjualan air mineral seperti mana diumumkan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar adalah idea tidak relevan kerana pulangannya kurang meyakinkan.
BACA LAGI: KDA FC lancar produk sendiri, jalin kerjasama dengan 4 syarikat tempatan bantu ekonomi pasukan
BACA LAGI: Sukar teruskan perjuangan, Daud Bakar dedah KDA hanya mampu bertahan sebulan
Minuman berasakan coklat merupakan salah satu produk keluaran Kedah. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, setiap langkah diambil pihak pengurusan memerlukan sokongan padu daripada pengikut setia Sang Kenari.
"Kita kena sokong apa cara sekali pun. Ini memang langkah awal yang mungkin boleh menarik lebih ramai penaja lain.
"Antara keperluan kad sim dengan air mineral, saya yakin lebih ramai akan perlukan air berbanding kad sim sewaktu datang menyokong pasukan Kedah," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, pembelian dalam kuantiti yang banyak dalam kalangan hadirin ke Stadium Darul Aman, Kedah dapat menjana pendapatan lebih mencukupi berbanding kad sim yang sudah dimiliki orang ramai.
Sebelum ini, kelab Utara tanah air itu pernah membuat penjualan barangan, seperti pakaian dan cenderahati untuk mendapatkan wang yang kemudiannya digunakan demi operasi kelab.
Daud Bakar menjelaskan perancangan kelab untuk memastikan kewangan terus kukuh. — Facebook/KDA FC
Keputusan itu diambil untuk mengelakkan KDA FC mengalami masalah kewangan yang pernah dialami pada pertengahan musim lalu dengan isu berkenaan cukup menggusarkan.
Dalam pada itu, Pekan turut mengatakan pendekatan diambil Kedah tidak boleh disamakan dengan penjualan barangan kosmetik yang pernah dibuat Kelantan ketika berada di bawah pemilikan usahawan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.
"Produk air mineral yang dikeluarkan Kedah ini lebih efektif bagi saya berbanding produk kecantikan. Produk minuman ini juga lebih relevan untuk dijual pada hari perlawanan berbanding produk kecantikan," jelasnya lagi.
Pada 2016, skuad The Red Warriors (TRW) pernah berada di bawah pengusahaan hartawan tanah air itu dengan beberapa barangan turut dijual demi mendapatkan dana mencukupi buat kelab.
Bagaimanapun, kesukaran mendapatkan sokongan daripada peminat setia bola sepak Kelantan menyaksikan Vida bergelut selain pernah membuat desakan terbuka untuk melariskan produknya.
Gesaan itu tidak dapat mengubah situasi sebelum dia akhirnya melepaskan hak pemilikan kelab kepada seorang lagi usahawan lokal, Bibi Ramjani Ilias Khan beberapa bulan selepas itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram