JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berpeluang mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 3-0 (agregat 5-1) dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024.
Pada babak pertama perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Ahad, Sang Kenari dilihat masih mampu bertahan walaupun asakan demi asakan dibuat skuad Harimau Selatan.
Selain benteng pertahanan, pujian juga patut diberikan kepada penjaga gawang kelab yang berpangkalan dari Utara tanah air tersebut.
BACA LAGI: Kedah ada peluang, tapi 'man to man' JDT tetap jadi pilihan ke final Piala FA
BACA LAGI: Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA
Antara aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2024. — Facebook/JDT
Beberapa cubaan jaringan daripada anak-anak buah Hector Bidoglio berjaya diselamatkan penjaga gol Sang Kenari, Kalamullah Al-Hafiz sehingga mendapat pujian orang ramai.
Bagaimanapun, usaha mereka untuk mengikat semula agregat sedikit sukar kerana pemain sayap, Sony Norde dikawal ketat benteng pertahanan tuan rumah.
Kekebalan benteng pertahanan skuad Sang Kenari itu sedikit sebanyak membawa kesan terhadap JDT yang semakin terdesak untuk meraih gol di laman sendiri.
Malah, ia menjadikan dua penyerang bintang mereka, Juan Muniz dan Bergson da Silva berebut untuk mengambil sepakan percuma.
Bersambung babak kedua, kealpaan benteng pertahanan KDA FC akhirnya membawa padah selepas Feros Baharudin berhasil meledak gol pertama pada minit ke-50.
Harimau Selatan terus menghancurkan impian Kedah untuk ke final Piala FA. — Facebook/JDT
Dalam pada itu, kemasukan Ebenezer Assifuah sebagai pemain gantian nyata membuahkan hasil di bahagian serangan apabila mencetak gol sulung untuk Kedah di Iskandar Puteri, namun ia dinafikan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana kedudukan Cleyton berada di posisi ofsaid.
Harimau Selatan terus menghancurkan impian Kedah untuk ke final Piala FA selepas penggempur utama JDT, Bergson menanduk bola hasil dari sepakan penjuru pada minit ke-75.
Meskipun beraksi agak cemerlang pada awal permainan, Kalamullah dilihat mula hilang arah selepas membiarkan gawang dibolosi oleh Juan Muniz.
Dua minit kemudian, perlawanan diwarnai dengan insiden kontroversi rentetan tindakan Norde menyiku pertahanan kanan JDT, Matthew Davies sehingga menyebabkan ketua pasukan Sang Kenari itu dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli.
Kemenangan itu membawa JDT bertemu Selangor FC di pentas final Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada hujung Ogos.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram