Kedah ada peluang, tapi 'man to man' JDT tetap jadi pilihan ke final Piala FA


  • Podium
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Reduan berpendapat Kedah mempunyai peluang namun pasukan pilihan masih JDT.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) pastinya memasang impian layak ke pentas akhir Piala FA selepas Sang Kenari akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang akan berlangsung pada Ahad (4 Ogos).

Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan melayani kunjungan anak-anak buah Nafuzi Zain turut mahu mengekalkan trofi Piala FA di bumi Harimau Selatan.

Ditambah lagi, JDT hanya membawa pulang satu mata ketika menentang PDRM FC dalam perlawanan Liga Super, Rabu lalu (31 Julai) yang sekali gus membuatkan skuad kendalian Hector Bidalgio mahu bangkit daripada prestasi hambar itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Keprihatinan atlet gusti wanita China dukung lawan raih perhatian satu dunia

BACA LAGI: Muda-muda lagi aura pemimpin sudah ada, Arif Aiman tak keseorangan galas tanggungjawab kapten

Reduan Abd

Reduan pernah membimbing UiTM FC.

Bekas pembantu jurulatih Harimau Malaya, Reduan Abdullah berpendapat Kedah mempunyai peluang namun pasukan 'favourite' masih lagi JDT dalam perlawanan separuh akhir kedua itu.

"Kalau tengok prestasi semasa Kedah nak bertemu JDT mungkin ada peluang, ia selepas melihat kepada perlawanan separuh akhir Piala FA sebelum ini.

"Namun kedua-dua pasukan ada peluang untuk menjaringkan gol, tapi JDT akan mengawal keseluruhan permainan.

"Keputusan seri PDRM-JDT tidak boleh diambil kerana Harimau Selatan pastinya akan mengubah sedikit corak permainan mereka.

"Saya berpendapat Kedah akan memikirkan macam mana mereka nak tarik pertahanan JDT nanti, sebab semua tahu setiap posisi yang ada di Harimau Selatan sangat baik," katanya kepada Majoriti.

Jurulatih berusia 71 tahun itu turut mengingatkan Kedah untuk berwaspada dengan tiga bintang JDT jika mahu merealisasikan impian ke pentas akhir Piala FA.

"Pertama saya rasa Kedah perlu mengawasi Bergson da Silva, dia memang penyerang yang betul-betul baik dan konsisten sepanjang perlawanan.

"Di bahagian tengah, Juan Muniz dan Arif Aiman turut perlu diawasi Kedah kerana mereka akan memberi ancaman kepada benteng pertahanan Sang Kenari.

"Kalau nak tengok 'man to man' untuk individu daripada pertahanan dan serangan, JDT lebih baik dan ada keseimbangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram