Bekas import Kedah sah jadi ejen bebas, bakal kembali ke bumi Darul Aman?


  • Podium
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Ronald Ngah pernah menyarung jersi Kedah pada musim 2022.

BEKAS pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja sah meninggalkan kelab Jordan, Al-Faisaly selepas tampil cemerlang buat pasukan itu sejak awal bulan tahun ini.

Pemain berusia 32 tahun itu secara rasmi mengumumkan perkara tersebut di laman Instagram peribadinya pada Jumaat (2 Ogos).

Ia sekali gus memberi peluang buat penyerang kelahiran Cameroon itu untuk kembali menyertai kelab-kelab Liga Malaysia apabila jendela perpindahan kedua telah dibuka pada Khamis (1 Ogos).

BACA LAGI: Kedah ada peluang, tapi 'man to man' JDT tetap jadi pilihan ke final Piala FA

BACA LAGI: [VIDEO] Keprihatinan atlet gusti wanita China dukung lawan raih perhatian satu dunia

“Terima kasih pihak pengurusan Al-Faisaly kerana membantu saya sejak awal tahun ini, masa saya dengan pasukan telah sampai ke penghujung.

“Saya sangat bersyukur dengan semua memori indah yang telah saya alami.

“Kepada penyokong dan ultras tak pernah saya lihat sokongan seperti ini dalam bola sepak seperti mana anda melayani saya.

“Saya minta maaf, masa anda akan tiba dan saya mendoakan agar di masa akan datang kejayaan milik anda,” katanya.

Ia sekali gus menghidupkan khabar angin kembalinya Ronald atau nama jolokannya, ‘Pak Ngah’ di kem Sang Kenari selepas Milos Gordic tidak beraksi dengan baik sejak awal musim ini.

Jika kehadiran Ronald Ngah berjaya mempertajamkan barisan serangan Kedah ia sedikit sebanyak boleh memberikan senyuman buat penyokong Sang Kenari.

Untuk rekod, Ronald Ngah pernah berkhidmat dengan Sang Kenari di bawah kendalian Aidil Shahrin pada musim 2022.

Bekas penyerang Cameroon itu juga merekodkan jaringan yang baik apabila tampil dalam 28 perlawanan dengan 15 gol serta lima ‘assist’ sepanjang menyarung jersi Hijau Kuning.

Menjadi persoalan adakah Ronald Ngah akan kembali ke bumi Darul Aman selepas sah bergelar ejen bebas? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram