Piala Sultan Azlan Shah medan terbaik Sarjit Singh bentuk pasukan — Mirnawan Nawawi


  • Podium
  • Isnin, 20 Mei 2024

Mirnawan berharap Sarjit Singh dapat diberi ruang untuk membentuk skuad yang lebih ampuh.

"PIALA Sultan Azlan Shah (PSAS) medan terbaik Sarjit Singh bentuk skuad Sukan Asia dan Piala Dunia 2026."

Itulah pandangan yang dilontarkan bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi selepas skuad kebangsaan sekadar mampu berpuas hati di tempat keempat setelah tewas 2-3 kepada New Zealand dalam kejohanan itu.

Mirnawan berkata, PSAS antara medan terbaik untuk ketua jurulatih baharu, Sarjit Singh menilai tahap kemampuan pasukan selepas skuad negara tidak layak ke Olimpik 2024.

BACA LAGI: Ex-Kedah, PDRM legakan Aidil Sharin persiap Kuching City

BACA LAGI: Azam Azih, duo 'ex' JDT patut dalam senarai Fandi Ahmad lawan Kuching City

"Saya rumuskan PSAS 2024 sebenarnya adalah medan terbaik untuk ketua jurulatih, Sarjit Singh melihat di mana tahap kita berada berbanding dengan pasukan lain yang bertanding.

"Kerana ini adalah kejohanan pertama di bawah kendalian beliau sebagai ketua jurulatih negara.

"Tempoh berlatih hanya sebulan sukar sebenarnya untuk beliau mencorak pasukan mengikut acuan yang ingin beliau terapkan.

"PSAS juga harus digunakan untuk melihat apa kekuatan dan kelemahan kita supaya menjadi rujukan untuk melakarkan satu program jangka pendek dan jangka panjang dalam segala aspek yang perlu ditambah baik dalam menyiapkan pasukan untuk Sukan Asia dan Piala Dunia 2026.

"KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) tidak meletakkan sebarang sasaran dan saya setuju.

"Ya lebih kepada pendedahan dan memberi idea kepada ketua jurulatih apa yang perlu dilakukan selepas ini," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-05-19 at 20.32.44

Datuk Mirnawan Nawawi

Tambahnya lagi, skuad negara mempunyai kekuatan untuk mencipta jaringan namun masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki seperti bahagian pertahanan.

"Bagi saya kekuatan pasukan yang jelas adalah kita mampu menjaringkan gol iaitu 18 gol.

"Tetapi melepaskan jaringan yang agak tinggi juga iaitu 13 gol dalam enam perlawanan, dua gol setiap perlawanan bukanlah satu statistik yang baik.

"Maka sudah tentu yang paling utama adalah memperbaiki bagaimana kita bertahan. Bertahan sebagai satu pasukan dan secara individu.

"Kawalan emosi juga penting diberikan perhatian seperti 'how to protect our lead' dan mengelakkan kita mengutip kad yang mudah di setiap perlawanan.

"Selain itu program jangka pendek dan jangka panjang terhadap fizikal and 'conditioning' supaya apabila pemain mempunyai fizikal 'conditioning' yang tinggi akan mengurangkan kesilapan-kesilapan individu ketika perlawanan," jelasnya.

Mirnawan turut bersetuju dengan pendekatan Sarjit Singh untuk menggunakan pemain-pemain muda supaya dapat mempersiapkan skuad yang matang dalam Olimpik 2028.

"Ini adalah kitaran baharu untuk Olimpik 2028. Perlu ada kesinambungan pemain senior dan pemain muda dalam skuad besar.

"Apa yang penting adalah menjadikan pemain-pemain muda ini matang dengan lebih cepat. Jadi banyak perlawanan pendedahan antarabangsa yang diperlukan.

"Sudah pasti sebagai bekas ketua pasukan hoki negara saya ingin melihat kita layak ke Sukan Olimpik 2028.

"Walaupun sudah 24 tahun kita belum layak saya pasti satu hari nanti kita akan kembali.

Untuk kembali ke Olimpik bukan hanya terletak kepada KHM atau pun ketua jurulatih, yang paling penting adalah pemain itu sendiri 'how hungry they are' untuk ke Olimpik.

"Bukan mudah tapi tidak mustahil. Pemain harus memberikan sepenuh komitmen mereka bukan setahun atau dua tahun sebelum Olimpik, tapi ia bermula sekarang.

"Apa pun buat masa ini kita perlu beri masa kepada Sarjit Singh ruang untuk merancang dan melaksanakan perancangan beliau.

"Saya percaya jika semua pemegang taruh memberikan sokongan dan pemain semua bekerja keras dan komited, pasti misi ke Olimpik boleh dicapai," ujarnya.

Untuk rekod, Jepun berjaya menjuarai PSAS selepas menewaskan Pakistan menerusi penentuan penalti 4-1 pada pentas akhir sekali gus dinobatkan sebagai johan bagi edisi 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram