PENOLONG jurulatih Speedy Tigers, S Kumar meninggalkan sebentar tugasannya bersama skuad hoki negara yang ketika ini bersaing di Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 untuk meluangkan masa selama sejam, berkongsi pengalaman serta memberi tunjuk ajar kepada 10 penjaga gol hoki daripada tiga buah sekolah.
Meskipun tempoh singkat tetapi pelajar-pelajar yang terlibat memperolehi pengalaman cukup berharga daripada bekas penjaga gol hoki terbaik Malaysia itu.
Kumar berkongsi beberapa teknik asas dan ciri-ciri yang perlu ada untuk seseorang pemain itu menjadi penjaga gol terbaik pada masa akan datang.
BACA LAGI: Aaron-Wooi Yik jejak semula ranking ke-4 dunia
BACA LAGI: Dipilih pemain terbaik mingguan di Thailand, Dion Cools beri petanda baik buat Harimau Malaya
Kumar berkongsi beberapa teknik asas dan ciri-ciri yang perlu ada untuk seseorang pemain itu menjadi penjaga gol terbaik.
"Penjaga gol adalah posisi yang tidak semua boleh bermain dan ia sangat penting kepada pasukan. Suka untuk saya berkongsi tunjuk ajar dan pengalaman dengan bakat-bakat muda ini.
"Saya percaya jika mereka berusaha keras dan miliki disiplin yang tinggi, pasti suatu hari mampu menjadi pemain berjaya," katanya ketika ditemui di program berkenaan.
Program itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat yang juga merupakan Sekolah Sukan Negeri Perak.
Peserta bagi program bersama Kumar itu, terdiri daripada lima orang pelajar sekolah berkenaan iaitu dua lelaki, Muhammad Haziq Hisam berusia 14 tahun dan Muhamad Syamim Naqeeb, 13, manakala Muhamad Suhail Hasif,12, Sekolah Kebangsaan Jelapang.
Bagi pelajar perempuan pula disertai oleh Nur Aina Liyana berusia 13 tahun, Nur Ariesha Abdul Rahim,15, dan Nur Adlin Husna Mohammad Amin,17.
Sementara itu, baki empat pelajar adalah dari SMK Raja Perempuan iaitu Nur Qaisara Azman berusia 13 tahun, Nur Erna Najihah,13, Nur Arissa Safrina,13, dan Nur Husna Ismail,14.
Dalam perkembangan sama, Kejohanan Hoki Bawah 17 Tahun Piala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Hoki Perak turut diadakan minggu ini, sempena penganjuran PSAS edisi ke-30. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram