ATLET pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi gagal mara ke peringkat seterusnya selepas sekadar menamatkan larian di tempat tercorot dalam acara pecut 100 meter lelaki pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Sabtu.
Azeem yang berlari di lorong kelapan di pusingan saringan kedua sekadar mencatatkan masa 10.45 saat dalam aksi yang berlangsung di Stade de France, Perancis.
Hadir di bumi Paris atas tiket 'wild card', potongan rambut baharu Azeem juga dilihat langsung tidak membantu dirinya ketika memecut sepanjang trek larian tersebut.
BACA LAGI: APMM dijangka terima bekas kapal AS tahun depan
BACA LAGI: [VIDEO] Rembatan Baddrol, hatrik 'assist' Hidalgo antara yang pernah menghantui JDT
Keputusan Azeem dalam pusingan kedua acara larian itu di Olimpik Paris pada Sabtu.
Dalam acara itu, pelari pecut dari Kenya, Ferdinand Omonyola mengungguli saringan dengan catatan masa 10.08 saat.
Manakala, Chituru Ali dari Itali menduduki tempat kedua dengan catatan masa 10.12 saat, Joshua Hartman dari Jerman di tempat ketiga dengan masa 10.16 saat.
Ini sekali gus melenyapkan harapan Azeem untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir, selain gagal dalam usahanya untuk mencatat rekod terbaik musim di Paris sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang dipegangnya iaitu 10.09 saat.
Sebelum itu, atlet pecut berusia 20 tahun berasal dari Teluk Intan, Perak itu menamatkan saringan pertama di tempat kedua dengan catatan masa 10.42 saat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram