Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA


  • Podium
  • Jumaat, 19 Jul 2024

Skuad Sang Kenari bercita-cita besar mahu menewaskan Harimau Selatan di laman sendiri pada Jumaat. — Facebook/KDAFC

NAMPAK mustahil, namun Kedah Darul Aman (KDA) FC tetap bercita-cita besar mahu menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA pada Jumaat.

Sang Kenari yang akan menerima kunjungan Harimau Selatan itu, dilihat sudah bersedia untuk mengekalkan momentum kemenangan selepas layak ke separuh akhir Piala FA dengan mengenepikan Penang FC secara agregat 1-0 pada saingan suku akhir.

Meskipun akan beraksi tanpa pemain pinjaman dari JDT iaitu Syafiq Ahmad, namun Nafuzi Zain masih mempunyai pengganti yang boleh menggalas tugas tersebut.

BACA LAGI: KL bebas pemotongan mata bikin fans Hijau Kuning berang, tuntut layanan adil MFL

BACA LAGI: Tak adil samakan pencapaian Pan-gon dengan Cheng Hoe

Milos..

Milos Gordic akan mengetuai jentera serangan KDA FC. — Facebook/KDAFC

"Kami ada pilihan lain dengan beberapa pemain boleh mengisi tempat Syafiq. Kami akan pastikan pemain itu sesuai untuk kita gunakan dan ianya bergantung bagaimana cara kita mahu bermain menentang JDT nanti," kata Nafuzi.

Nafuzi kini menaruh harapan kepada dua pemain importnya iaitu Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah untuk mengetuai barisan serangan, manakala peranan Syafiq boleh diisi oleh pemain seperti Fayadh Zulkifli Amin, Aiman ​​Afif Md Afizul, Afeeq Iqmal Rosli, dan Faiz Nasir yang dipinjamkan dari Terengganu FC.

Jika melihat kepada rekod bertemu JDT, Sang Kenari mencatatkan rekod kurang baik selepas tewas lapan daripada 10 perlawanan terakhir mereka.

Sony

Sony Norde (tengah) yakin Sang Kenari akan meraih keputusan positif berdepan JDT nanti. — Facebook/KDAFC

Bagaimanapun, kapten pasukan, Sony Norde menaruh harapan tinggi bahawa Sang Kenari mampu melakukan kejutan menentang juara bertahan Piala FA itu.

Pemain kelahiran Haiti itu berkata, KDA FC berada pada momentum yang baik, setelah memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka.

"Kami mahu meneruskan impian dalam saingan Piala FA dan mahu terus berjuang sebaik mungkin pada peringkat separuh akhir.

"Kami akan menentang pasukan serba lengkap seperti JDT dan semua menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang cukup mencabar.

"Semua pemain perlu bersedia pada tahap terbaik bersandarkan persiapan kami dan tunjukkan kemampuan sebenar apabila sampai ke tahap separuh akhir ini," katanya.

Beraksi di laman sendiri, Norde menambah bahawa sokongan daripada penyokong Jelapang Padi akan membantu kerana pasukan itu memerlukan keputusan yang baik sebelum bermain perlawanan kedua di Johor bulan depan.

“Kami memerlukan sokongan dan dorongan daripada penyokong, saya harap penyokong akan membanjiri stadium untuk menyokong pemain untuk perlawanan penting ini," tambahnya. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram