"SAYA tidak menyangkal kos ke Sukan Malaysia (SUKMA) tinggi, tapi untuk minta tuan rumah tanggung tidak pernah berlaku."
Itu antara pandangan yang dilontarkan oleh Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi apabila mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor pada Rabu (10 Julai).
Sebelum ini, Sanusi berharap agar Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung bulan depan.
BACA LAGI: Kita harap Sarawak tanggung sedikit kos — Sanusi
BACA LAGI: 'Tak bayar gaji sejak awal liga', kelab Sang Utara turut alami masalah gaji?
Pengarah Eksekutif MSN Selangor itu berkata, kos untuk ke SUKMA tahun ini agak meningkat kerana diadakan di Sarawak namun negeri yang terlibat perlu mengikut bajet diperuntukkan dan tidak menghantar atlet ke semua acara.
"Ia bukan isu setuju atau tidak setuju (kenyataan Sanusi), pendapat saya untuk pergi hantar atlet ke Sarawak ini memang belanja kos agak tinggi.
"Ia disebabkan pertambahan sukan daripada kebiasaannya, sebelum ini 24 acara tapi kali ini 37 jenis sukan dipertandingkan.
"Memang kos sangat tinggi kerana Sarawak memilih hampir sembilan residen di Miri, Mukah, Kota Samarahan dan sebagainya.
"Tetapi bergantung kepada kemampuan kontinjen itu sendiri, kalau rasa tak mampu mungkin kurangkan dia punya penyertaan.
"Di Selangor, kami 'goes by merit', maksudnya kalau atlet nak pergi kita tak hantar keseluruhan, tetapi yang mana merit melepas kelayakan dia (atlet) pergi," katanya kepada Majoriti.
Nizam tidak menyangkal kos tinggi untuk menghantar kontinjen ke Sukma Sarawak tahun ini.
Tambahnya lagi, kos SUKMA tahun ini mencecah hampir RM11 juta berbeza dengan edisi sebelum ini.
"Kami perlukan kira-kira RM11 juta untuk persediaan pergi, kalau sebelum ini di Semenanjung hanya perlukan RM8 juta.
"Tambahan kos daripada segi penerbangan, ia juga bergantung kepada jumlah kontinjen, macam Selangor ada lebih kurang 1,138 individu.
"Jadi kos untuk penerbangan dalam anggaran RM1.3 hingga RM1.5 juta, tetapi selalunya separuh daripada kos akan ditanggung oleh kerajaan," jelasnya lagi.
Kos untuk ke SUKMA Sarawak tahun ini menelan hampir RM11 juta.
Bercakap mengenai kenyataan Sanusi yang meminta kerajaan Sarawak menanggung sedikit kos skuad Sukma Kedah, Nizam berpendapat perlu mengukur baju di badan sendiri sebelum menghantar atlet ke kejohanan itu.
"Kalau sebelum ini kita kena sewa kontena macam beliau (Sanusi) sebut, kita cuba mengurangkan perkara-perkara itu dengan menggunakan kapal terbang yang menyediakan perkhidmatan untuk bawa peralatan.
"Bukan menyangkal apa yang Kedah cakap, cuma berkongsi pendapat.
"Kos kejohanan memang tinggi tak dinafikan, tapi nak minta Sarawak (tanggung kos) tidak pernah berlaku lagi.
"Tak pernah berlaku lagi dalam SUKMA, ia bergantung kepada kontinjen negeri itu sendiri.
"Kalau kontinjen negeri itu mampu dia bawalah, kalau tak mampu perlu ukur baju di badan sendiri," ujarnya.
SUKMA Selangor tahun ini menyasarkan 61 pingat dan berada dalam tiga kontinjen terbaik di kejohanan dwitahunan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram