SELEPAS merekodkan keputusan seri ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu lalu, Sri Pahang kini perlu mencari momentum untuk bangkit jika tidak mahu berterusan kehilangan mata.
Aksi pada Rabu pastinya bukan satu laluan mudah buat anak-anak buah Fandi Ahmad memandangkan mereka akan menentang Selangor FC yang kini merupakan pasukan kedua teratas liga selepas enam perlawanan.
Sri Pahang tidak boleh lagi melakukan kesilapan mudah hingga menyebabkan skuad itu berterusan meratapi kekalahan.
BACA LAGI: Fandi banyak mengeluh kisahkan Sri Pahang masih terus bergelut
BACA LAGI: Nasib Saravanan seperti terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau
Jika dilihat pada rekod empat perlawanan terkini Liga Super, Sri Pahang tidak lagi mencatatkan sebarang kemenangan dan sekadar meraih dua kekalahan serta dua seri.
Skuad Tok Gajah pada 13 Julai lalu berdepan detik memalukan selepas dijinakkan pasukan belasahan pada musim ini, Negeri Sembilan dengan jaringan 0-2, walaupun berkelebihan beraksi di halaman sendiri.
Meskipun tewas di tangan pasukan yang berada di kedudukan terakhir liga, persembahan cemerlang yang diperagakan pemain muda kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu, seperti Ibrahim Manusi masih mendapat pujian ramai.
Selain Ibrahim, terdapat dua lagi pemain muda yang boleh diketengahkan Fandi sebagai persediaan menebus kekecewaan sekali gus membuat Gergasi Merah berputih mata di gelanggang lawan.
1) Ibrahim Manusi
Ibrahim matang mengawal bahagian tengah pasukan bersama Saiful Jamaluddin. — Facebook/SriPahang
Kelincahan pemain tinggi lampai itu dipuji meskipun ini adalah penampilan pertamanya bersama skuad utama Tok Gajah.
Walaupun baru berusia 22 tahun, dia dilihat matang mengawal bahagian tengah pasukan bersama Saiful Jamaluddin.
Malah, Ibrahim juga berusaha memberi cabaran kepada pemain-pemain tengah KL City yang lebih berpengalaman seperti Paulo Josue dan Zhafri Yahya.
Sebagai rekod, Ibrahim menyertai Sri Pahang pada dua tahun lalu. Dia sebelum ini merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan pemain penting yang membawa Sri Pahang dinobatkan naib johan Piala Presiden 2022.
2) Saiful Jamaludin
Saiful merupakan kapten Sri Pahang Bawah 23 Tahun (B-23) musim lalu. — Facebook/MFL
Pemain tengah Sri Pahang FC, Saiful Jamaluddin juga antara yang perlu diberi tumpuan oleh pasukan Selangor.
Bintang dalam pembikinan itu yang juga merupakan kapten Sri Pahang Bawah 23 Tahun (B-23) musim lalu beraksi dalam 17 perlawanan kejohanan tersebut.
Kecemerlangannya berjaya meletakkan pemain berusia 22 tahun tersebut di pentas Liga Super untuk musim ini.
Fandi juga pernah secara peribadi memuji pemain berketinggian 1.84 meter itu apabila dia berhasil memainkan peranan sebagai pertahanan pasukan yang baik, dalam aksi menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang berlangsung di Stadium Temerloh pada Mei lalu.
Beliau berkata, Saiful yang berada di tengah berfungsi sebagai wiper terhadap setiap serangan lawan, dengan keberadaannya berupaya 'membersihkan' setiap serangan yang dilakukan.
3) T Saravanan
Saravanan menandatangani kontrak selama dua musim iaitu 2024-2026 bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/SriPahang
Penyerang sayap muda negara, T Saravanan, 23, bernasib baik selepas dia akhirnya mendapat panggilan ke skuad senior buat pertama kali dan berhijrah ke skuad Tok Gajah bagi musim Liga Super tahun ini.
Bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City FC itu salah seorang daripada 33 pemain yang dipilih bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan berpusat Harimau Malaya mulai 8 Mac bagi mempersiapkan diri menghadapi perlawanan ketiga dan keempat Kumpulan D kelayakan pusingan dua Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Pemain Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu juga merupakan salah seorang pemain sayap paling berharga dalam saingan Liga Super berkat persembahannya bersama skuad The City Boys dan juga dengan pasukan B-23 tahun negara.
Sudah tiba masanya, penyerang sayap itu yang baru merekodkan satu penampilan bersama pasukan senior Sri Pahang berkenaan mendapat lagi kepercayaan untuk menganggotai barisan hadapan menjelang pertemuan menentang Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram