'Kami menderita dalam diam setiap tahun', Menteri Belia dan Sukan Sarawak jawab permintaan Sanusi tanggung kos SUKMA


  • Podium
  • Khamis, 11 Jul 2024

Abdul Karim (kanan) menjawab permintaan Sanusi untuk menanggung sebahagian kos kontinjen negeri Kedah ke SUKMA.

MENTERI Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberikan respons balas berhubung permintaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang terpaksa menanggung kos tinggi termasuk bagi perbelanjaan tiket perjalanan dan membawa peralatan yang melibatkan beberapa kontena menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos.

Memetik laporan The Borneo Post, Abdul Karim berkata, Sabah dan Sarawak sentiasa perlu menanggung kos begitu tinggi untuk ke Semenanjung Malaysia bagi acara peringkat kebangsaan.

Pada Rabu, Sanusi dilaporkan berkata, beliau berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke SUKMA.

BACA LAGI: Kita harap Sarawak tanggung sedikit kos — Sanusi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mental kau kuat dik', juara cilik badminton terpaksa selfie lepas tak dilayan mahu ambil gambar kenangan

Sanusi

Mohammad Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat EXCO pada Rabu.

Katanya, ia susulan kos tinggi yang terpaksa ditanggung termasuk tiket penerbangan dan membawa beberapa kontena peralatan dan beliau merasakan negeri lain turut berdepan isu sama.

“Apa diketengahkan Menteri Besar Kedah ialah apa yang Sabah dan Sarawak terpaksa tanggung semasa acara kebangsaan, termasuk sukan setiap kali diadakan di Semenanjung.

“Kontinjen dari Sabah dan Sarawak terpaksa menanggung kos untuk sebarang acara sukan, sama ada Sukma atau liga bola sepak kebangsaan tahunan. Kami menderita dalam diam setiap tahun hanya untuk mengambil bahagian,” kata Abdul Karim.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, Sanusi mungkin hanya bergurau, sambil menambah Kedah adalah negeri kaya yang mampu menanggung kosnya.

“Menteri Besar Kedah, pada satu ketika, pernah menyebut bahawa ia boleh menjadi maju dan berjaya seperti Selangor," katanya.

SUKMA 2024 akan diadakan di sembilan daerah negeri itu bermula 17 hingga 24 Ogos. Sebanyak 37 sukan akan dipertandingkan dengan membabitkan 488 acara dengan penyertaan 12,619 atlet dan pegawai.

Ini adalah kali ketiga Sarawak menganjurkan sukan itu selepas 1990 dan 2016 dan Sarawak pernah menjadi juara SUKMA pada 1990, 1992, dan 1994. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram