'Tahun depan boleh naturalisasikan?', penyokong Penang sambut gembira Rafael Vitor jaring gol ketika penampilan ke-100


  • Podium
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Rafael Vitor mempunyai kenangan cukup manis ketika berdepan Kelantan Darul Naim. — Penang FC

KELAB Liga Super, Penang FC kembali ke landasan kemenangan selepas berjaya meraih tiga mata penuh berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Khamis.

Selepas 'kekeringan' dengan kemenangan, skuad Akmal Rizal turun dengan harapan dapat meraih tiga mata rentetan kekalahan di tangan Selangor FC sebelum itu.

Nyata, percaturan pengendali itu berhasil apabila mereka berjaya mendapatkan gol menerusi Rodrigo Dias dan Nik Akif Syahiran pada separuh masa pertama.

BACA LAGI: Rodrigo Dias turut curi tumpuan di malam penampilan ke-100 Rafael Vitor bersama Penang

BACA LAGI: Akmal Rizal mahu Penang guna kelebihan bangkit kalahkan KDN

Malah, Dias turut beraksi dengan cukup baik dengan melakukan satu gol dan satu bantuan gol hingga diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Namun begitu, tumpuan lebih terarah kepada malam istimewa buat ketua pasukan Harimau Kumbang iaitu Rafael Vitor yang melakukan penampilan ke-100 bersama kelab Utara itu.

Perlawanan menentang KDN itu nyata cukup bermakna untuk Vitor dari pelbagai aspek. Bukan sekadar mereka meraih kemenangan malah dia turut menjaringkan gol pada aksi tersebut.

Vitor menjaringkan penalti pada minit ke-75 untuk menjadikan malam bermakna pemain pertahanan itu cukup manis.

Di mata penyokong, detik itu dirai oleh mereka terhadap salah seorang pemain yang cukup komited bersama-sama Harimau Kumbang ketika senang atau susah.

"Dari pemain nombor 17 kepada 17 gol dalam 100 penampilan. Vamos!," kata penyokong bernama Roshidi Malik.

"Siuuuu! Terbaiklah! Celah gigi je dia jaringkan gol," ujar Athirah Saiyyidah.

"Padu Vitor, penampilan ke-100 untuk Penang dan meraikannya dengan jaringan. Tahun depan (boleh) naturalisasilah kan?," soal Shaifull Sabri pula.

Nama Vitor akan sentiasa mekar dalam kalangan penyokong Penang sebagai antara pemain import yang sentiasa konsisten beraksi baik setiap musim.

Selepas ini, Penang akan berdepan tugas sukar bertemu Kuching City FC pada 11 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram