Miroslav Kuljanac gembira 'comeback' Brendan Gan, sudah rancang misi tewaskan TFC


  • Podium
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Brendan (jersi nombor 88) kembali menjadi watak penting KL City semasa aksi Liga Super menentang Sabah FC pada Rabu. — Facebook/Kuala Lumpur City

MESKIPUN baru pulih daripada kecederaan, namun ia tidak mematahkan semangat bintang Kuala Lumpur (KL) City FC, Brendan Gan, untuk beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super 2024/2025, menentang Sabah FC pada Rabu.

Selepas diketepikan dalam dua perlawanan terdahulu, Brendan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama berdepan Sabah sekali gus membuktikan ketangkasannya di atas padang walaupun baru sahaja pulih.

Kesungguhannya itu mendapat perhatian dan pujian daripada pengendalinya, Miroslav Kuljanac, menyifatkan dia sebagai pemain yang sangat penting untuk pasukannya.

BACA LAGI: Persib Bandung, jaguh dari Korea dan Singapura boleh jadi lawan ideal Selangor di Asia

BACA LAGI: Kelebihan buat Khairulazhan kekalkan tempat di pintu gol Selangor FC tapi...

photo_2024-08-01_22-57-29

Brendan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama semasa menentang Sang Badak pada Rabu. — Facebook/Kuala Lumpur City

Bukan itu sahaja, beliau turut meluahkan rasa puas hati dengan impak yang disumbangkan oleh bekas pemain Selangor FC itu untuk membantu pasukannya memenangi perlawanan pada Rabu menewaskan anak buah Datuk Ong Kim Swee dengan keputusan 3-0.

“Saya gembira dia telah kembali dan cukup cergas apabila beraksi sebentar tadi (Rabu).

“Dia merupakan pemain yang sangat penting untuk pasukan ini dan telah bermain dengan cukup baik apabila dah kembali dengan rakan pemain lain.

“Saya pun sentiasa berkomunikasi dengan Brendan dan dia sendiri yang cakap, dia dah bersedia untuk beraksi, jadi saya tahu dia memang betul-betul dah sedia.

“Brendan tahu macam mana nak jaga diri dia dan saya harap pemain-pemain muda lain boleh ambil contoh dengan kesungguhan dia berusaha untuk pulih dengan cepat," jelasnya kepada MFL.

Setakat empat perlawanan Liga Super yang diharungi skuad The City Boys, pasukan Lembah Klang berkenaan masih belum merekodkan sebarang kekalahan.

Enggan terus berasa selesa dengan kedudukan terkini, pengendali kelahiran Croatia itu bagaimanapun seolah-olah sudah dapat membaca aksi seterusnya menentang Terengganu FC (TFC) pada minggu hadapan pastinya lebih sukar dan perlu merangka perancangan yang lebih baik.

“Kita ada lebih kurang 10 hari untuk buat persiapan dan saya kena bersedia dengan perancangan lebih serius kerana Terengganu FC adalah kelab yang bagus.

“Tempoh hari mereka menang ke atas Negeri Sembilan FC, dan sekarang mata kami adalah sama iaitu 11 mata, jadi ini bukan senang," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram