[VIDEO] 'Selangor apa yang kau buat?', Gergasi Merah tahan telinga terima 'nyanyian istimewa' UltraSel


  • Podium
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Skuad Gergasi Merah berputih mata di Stadium Temerloh apabila hanya mencatatkan keputusan seri. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC gagal mengukuhkan lagi kedudukan mereka di tangga kedua Liga Super apabila setakat meraih keputusan seri dalam aksi di Stadium Temerloh, Pahang pada Rabu.

Gol awal daripada Alvin Fortes pada minit ketiga gagal membawa momentum positif buat skuad Gergasi Merah apabila mereka memilih untuk mengambil pendekatan bertahan.

Keputusan itu membawa padah apabila kapten Sri Pahang FC, Stefano Brundo mengikat kedudukan selepas situasi kelam kabut dalam kotak penalti pasukan pelawat.

BACA LAGI: Kelebihan buat Khairulazhan kekalkan tempat di pintu gol Selangor FC tapi...

BACA LAGI: Nidzam terima hakikat menang semata-mata belum cukup buat Selangor FC

453592157_870895438405822_8575456286310580461_n

Ahapov (kiri) kelihatan kecewa selepas dilayangkan kad merah. Facebook/Sri Pahang FC

Memasuki babak kedua, skuad Gergasi Merah terus bergelut untuk mendapatkan gol kedua perlawanan meskipun selepas import skuad Tok Gajah, Mykola Ahapov dibuang padang akibat bentesan berbahaya.

Kegagalan meraih kemenangan itu menyaksikan Selangor FC terus kempunan dalam mengumpul tiga mata di gelanggang lawan selepas empat perlawanan dengan dua daripadanya dalam saingan Piala FA.

Rekod itu sudah tentu sukar diterima penyokong Gergasi Merah yang hadir untuk memberi sokongan meskipun perlu mengeluarkan wang ratusan ringgit dan mengorbankan masa masing-masing.

Jadi, untuk meluahkan kekecewaan itu, ratusan pengikut setia kelab Lembah Klang berkenaan bertindak menyanyikan sorakan yang berkonsepkan teguran kasar terhadap pasukan itu selepas perlawanan.

Berdasarkan lirik dan bait-bait perkataan yang dilontarkan, mereka mempersoalkan prestasi Selangor FC setiap kali beraksi di tempat lawan.

Nyanyian itu jelas menusuk hati pemain serta pengendali pasukan, Nidzam Jamil yang hanya berdiam diri sambil memahami maksud daripada sorakan berkenaan.

Perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu apabila pada 2022, penyokong, terutamanya dalam kumpulan UltraSel pernah menyanyikan sorakan sebegitu di Stadium Hang Jebat, Melaka berikutan prestasi tidak menentu pasukan.

Ia jelas memberi impak apabila Selangor FC kemudiannya menampilkan aksi lebih bersemangat sehingga menyaksikan mereka layak ke pentas akhir Piala Malaysia.

Oleh itu, respons sedemikian juga sudah tentu diharapkan skuad Gergasi Merah, terutamanya apabila mereka bakal berdepan Terengganu FC dalam separuh akhir kedua Piala FA pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram