Akhyar ibarat bernyawa semula, jadi arkitek Sang Penyu tumpaskan skuad Jang


  • Podium
  • Selasa, 30 Jul 2024

Akhyar menamatkan aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan satu gol dan satu bantuan jaringan. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC melakar kemenangan di laman sendiri ketika menerima kunjungan Negeri Sembilan FC pada Selasa dengan keputusan 3-2 berpihak kepada skuad Sang Penyu.

Selepas ketinggalan pada minit ke-16 menerusi gol Mika, pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner bangkit mengikat kedudukan menerusi sepakan percuma Safawi Rasid.

Jaringan yang dihasilkan pada masa kecederaan separuh masa pertama itu cukup sempurna dengan penjaga gawang skuad Jang, Aqil Razak hanya terpegun melihat tendangan tersebut.

BACA LAGI: Pra musim tak sehebat Perak atau Kedah tapi Kuching City lebih 'meletup' di Liga Super

BACA LAGI: Tak pernah debut Liga M, kelibat import JDT tahu-tahu muncul di sesi latihan kelab Indonesia

Kisah berbeza disaksikan pada babak kedua selepas seorang lagi pemain sayap, Akhyar Rashid mempamerkan aksi terbaik dalam membantu kelab Pantai Timur itu.

Hantaran lintang pada minit ke-49 cukup berkualiti yang kemudiannya disudahkan penyerang, Nnabuike Chijioke menerusi satu tandukan tepat.

453649544_482341067840666_1273783680127927977_n

Impak cukup penting diberikan Akhyar setiap kali beraksi untuk skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Kelebihan berkenaan bagaimanapun tidak berkekalan selepas gawang Terengganu FC sekali lagi dibolosi selepas pemain Negeri Sembilan FC, Jacque Faye melakukan gerakan mengelirukan dalam kotak penalti.

Namun, kedudukan 2-2 tidak kekal lama selepas Akhyar sekali lagi menjadi watak penting buat skuad Sang Penyu selepas dia menyudahkan hantaran Marin Pilj.

Ketenangan dalam menerima umpanan itu disusuli dengan penyudah sempurna melalui celahan kaki Aqil Razak untuk mengembalikan kelebihan kepada tuan rumah.

Kedudukan 3-2 berpihak kepada Terengganu FC kekal sehingga wisel penamat dengan kemenangan berkenaan meletakkan pasukan itu di kedudukan ketiga Liga Super.

Bagi Negeri Sembilan FC pula, mereka yang tewas bagi kali kelima dalam enam perlawanan kekal di kedudukan tercorot dengan hanya tiga mata diraih setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram