SKUAD Sang Penyu berjaya bangkit daripada kekalahan lalu apabila meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada Selasa.
Keputusan 3-2 yang memihak kepada kelab Pantai Timur itu meletakkan mereka di tangga keempat liga dengan 11 mata berjaya dikutip setakat enam perlawanan.
Prestasi itu sudah tentu membawa keriangan terhadap ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang semakin berpuas hati dengan kesungguhan ditonjolkan anak-anak buahnya.
BACA LAGI: Akhyar ibarat bernyawa semula, jadi arkitek Sang Penyu tumpaskan skuad Jang
BACA LAGI: SSMZA bergegar antara 5 luahan fans Penyu saksikan kejayaan Terengganu ke atas Selangor
Shahrul Nizam antara pemain yang berada dalam status pengawasan. — Facebook/Terengganu FC
Namun, di sebalik hal-hal positif tersebut, masih terdapat beberapa isu yang perlu difikirkan pengendali dari Croatia itu, terutamanya mengenai kecergasan pasukan.
"Pemain kini berada dalam keadaan keletihan dengan masalah kecergasan, lebih-lebih lagi selepas satu jadual yang padat. Kami akan fokus kepada proses penyembuhan dan bagaimana caranya untuk mempersiapkan pasukan kerana ada pemain cedera.
"Alif (Zakaria) mengalami kecederaan. Saya juga berharap Ismaheel (Akinade) dan Shahrul Nizam (Ros Hasni) dapat pulang segera," katanya.
Kegusaran itu sudah tentu menghantui Tomislav memandangkan Terengganu FC akan berdepan Selangor FC dalam separuh akhir Piala FA di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu.
Meskipun meraih kemenangan 3-2 dalam pertembungan pertama Julai lalu, prestasi memberangsangkan skuad Gergasi Merah di laman sendiri sudah tentu menyukarkan hasrat mereka.
Steenvoorden terus meraih kepercayaan untuk berada dalam pasukan. — Facebook/Terengganu FC
Namun, Tomislav masih dapat menghembuskan nafas lega apabila pertahanan import, Matthew Steenvoorden sudah diturunkan selepas beberapa bulan bergelut dengan isu kecederaan.
"Dia tidaklah begitu mengecewakan, tetapi masih belum cergas sepenuhnya dan perlu bekerja lebih keras. Tetapi, saya faham kerana dia tidak beraksi untuk tujuh bulan dan hanya meraih dua penampilan setakat ini," katanya.
Setakat ini, pemain kelahiran Belanda itu sudah beraksi selepas disisihkan dengan persembahan sedikit positif dipamerkannya, terutamanya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC.
Dalam pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu, skuad Sang Penyu meraih kemenangan dengan Safawi Rasid, Nnabuike Chijioke dan Akhyar Rashid menjaringkan gol buat mereka.
Jaringan Negeri Sembilan pula terhasil menerusi sumbangan Mika dan Jacque Faye sementara mereka terus bergelut untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang dalam Liga Super. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram