BARU-BARU ini, tular satu video memaparkan pandangan seorang pempengaruh yang menganggap pendidikan tinggi hanyalah satu bentuk perniagaan.
Menerusi satu program audio siar YouCast, pempengaruh yang dikenali sebagai DMA Islam berpendapat ijazah yang sedang diambil olehnya bukanlah untuk ilmu.
Malah, dia berkata, pihak universiti sepatutnya berterima kepadanya yang 'membeli sijil' tersebut.
BACA LAGI: Malaysia perlu tempoh 2 lagi penggal kerajaan sebelum capai status Harimau Asia
BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya
Pandangan berkenaan ternyata menimbulkan kritikan daripada warga maya yang rata-ratanya mengecam kenyataan terbabit yang disifatkan bukan sahaja dangkal, tapi turut memperlekeh kepentingan melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
Mengulas mengenai isu tersebut, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Datuk Dr Ramzah Dambul berkata, secara umumnya, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa institusi pendidikan formal sememangnya merupakan sejenis industri perniagaan.
Ini kerana menurutnya, sebagai sebuah institusi, universiti menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan disertai bayaran atau pelaburan sebagai timbal balas.
"Tapi kita mesti faham. Pendidikan juga, tidak kira formal atau informal, adalah sejenis proses pemugaran manusiawi. Sistem pendidikan yang kita lalui itu bukan saja mempunyai elemen khidmat jual-beli, tetapi juga ada elemen budi dan bakti.
"Kita kena tahu membezakan antara 'ijazah' (proses pensijilan dan penarafan) dan 'hikmah' (yang membangunkan pemikiran dan peribadi). Jangan pukul rata kasi sama, meskipun kedua-duanya teradun dalam pakej pendidikan tertiari.
"Yang pertama itu, kita boleh beli. Yang kedua itu, kita tidak mampu bayar," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ramzah berkata, pada ketika ini, ramai pihak menyangka bahawa mereka masuk ke universiti dan membayar yuran untuk mendapatkan ilmu.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia adalah pemahaman yang salah mengenai pengurusan di universiti.
"Yang dibayar sebenarnya hanyalah perkhidmatan fizikal, yang merangkumi kemudahan infra dan juga masa yang diperuntukkan pensyarah untuk memberi fasilitasi pembelajaran. Tapi kamu bukan bayar untuk 'hikmah' yang diperturunkan 'mahaguru' dan 'mursyid' itu.
"Yang ini, harganya tidak ternilai. Sebab itu, 'hutang ilmu' kita kepada para guru dan institusi pendidikan akan dibawa hingga mati. We can never repay our teachers and educators! Jadi, tidak boleh cakap: 'Erk, aku dah bayar pun semua itu.
"Kau yang patut berterima kasih padaku sebab aku support perniagaan kau!' Konsep hubungan kudus pendidik-penuntut ini bukan setakat diajar dalam semua agama. Tapi golongan atheist dan kaum liberal pun percaya pada konsep murni ini," ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Madya Datuk Dr Ramzah Dambul. — Facebook/Rem Dambul
Sehubungan itu, Ramzah berkata, pandangan pempengaruh itu mengenai pengajian tinggi adalah terlalu dangkal.
"Dia hanya faham konsep 'perkhidmatan', yang mudah diukur dengan matematik ringgit. Dia tidak hadam konsep budi dan bakti, yang tersembunyi dalam hikmah. Entah-entah lepas ini, ada pula orang yang akan kira harga 'perkhidmatan' seorang ibu membesarkan anak.
"Maka dikiralah berapa liter titisan susu, berapa tempoh masa dan jumlah wang belanja yang sudah diguna. Kemudian boleh cakap: 'Ibu, nah ambil RM80 bilion. Sekarang, lunas sudah hutang budiku pada Ibu!”
"Sampai terlupa, cuma penat fizikal dan ongkos material saja sebenarnya yang boleh dihitung secara matematik. Tapi kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu, tidak mampu dicagar dengan longgokan duit dan emas seluruh semesta," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram