Kehadiran Richard bawa persaingan sihat, undang pujian rakan sepasukan HM


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

Pengalaman Richard Chin di liga bawahan England akan membawa dimensi baharu buat skuad B-23 negara. — Facebook/FAM

PERSOALAN mengenai pemain baharu kebangsaan akhirnya terjawab apabila bek kiri muda, Richard Chin menyertai kem latihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.

Pemain di kelab liga bawahan England, Charlton Athletic itu dilihat sebagai satu penambahan baharu buat Harimau Muda dengan pengalamannya cukup berharga.

Jadi, sumbangannya pasti diharapkan dapat menaikkan lagi kualiti skuad muda kebangsaan yang bakal berentap dalam Piala Asia B-23 di Doha, Qatar.

Richard juga dilihat cukup bersemangat bersama rakan sepasukan baharunya apabila dia bersama-sama menyaksikan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Kyrgyzstan Khamis lalu.

Ia boleh dianggap sebagai satu langkah positif buat skuad kendalian Juan Torres Garrido yang memerlukan seorang pemain pertahanan sayap berkualiti.

403987102_1046442949762274_3930470271308888033_n

Umar Hakeem cukup mengalu-alukan kehadiran Richard Chin ke dalam skuad B-23 negara. Facebook/FAM

Perkara itu turut dipersetujui bek muda skuad B-23 negara, Umar Hakeem Suhar Rezwan yang mengakui Richard Chin membawa satu nafas baharu meskipun pemain terbabit kini sedang dalam proses menyesuaikan diri.

"Richard memerlukan masa untuk memahami Bahasa Melayu, tetapi dia merupakan seorang yang cukup baik. Ia adalah satu perkara memberangsangkan kerana dapat berlatih di sampingnya.

"Saya tidak tahu dengan lanjut mengenainya, tetapi kami akan cuba untuk memahami personalitinya. Kami juga akan cuba untuk membantunya menyesuaikan diri," kata pemain 21 tahun tersebut.

Di samping boleh beraksi sebagai bek sayap, Richard Chin juga mempunyai pengalaman beraksi sebagai pemain tengah bertahan seperti mana dilakukannya bersama Charlton Athletic.

Ia boleh dianggap sebagai satu elemen baharu buat skuad B-23 negara yang masih cuba menerapkan gaya permaianan Garrido setelah dia dilantik pada Oktober lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram