Latihan di Dubai, tukar nama belum cukup, Bukit Tambun boleh contohi Kedah jika mahu kekal relevan


  • Podium
  • Rabu, 31 Jul 2024

Bukit Tambun FC bakal diberi nafas baru menerusi nama baru pasukan iaitu Brotherkita FC. — Facebook/BTFC

PASUKAN Liga A1 Semi-Pro, Bukit Tambun FC (BTFC) bakal beridentiti baharu apabila kelab berpangkalan di Pulau Pinang berkenaan bakal dijenamakan semula menjadi Brotherkita FC dalam masa terdekat ini.

Keputusan untuk pertukaran nama itu diumumkan sendiri oleh pemilik dan pengerusi baharu pasukan, Datuk Razalif Mohamad Zain yang difahamkan sudah bersedia untuk melakukan perubahan dan penambaikan kepada BTFC.

Memetik laporan portal Harimau Malaya, Razalif memaklumkan sentiasa berhubung dengan pengelola liga, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bagi memastikan proses pengambilalihan dan pertukaran nama pasukan berjalan lancar.

BACA LAGI: Bos Perak FC umum lepas jawatan, fans tak lupa memori manis

BACA LAGI: Orang kuat Perak FC tak nafi ada isu gaji, ajak fans beli 'merchandise' selesaikan masalah

Selain menunggu proses pertukaran itu, Razalif juga mengesahkan skuad kendalian Jacob Joseph itu sedang menjalani sesi latihan selama seminggu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga melibatkan tiga perlawanan persahabatan bertemu kelab tempatan di negara itu.

Perubahan dari segi pertukaran nama dan latihan di Dubai itu bagaimanapun tidak disambut baik oleh sesetengah penyokong BTFC dengan ada yang mencadangkan untuk pasukan itu menitikberatkan lima perkara terlebih dahulu bagi terus kekal relavan di industri bola sepak tanah air.

Memetik cadangan daripada salah seorang penyokong BTFC, Aiman MSuhaimie di laman Facebook berkongsi, pertukaran stadium rasmi, nama pasukan, penajaan, hubungan dengan penyokong dan sumber kewangan ialah lima aspek yang perlu dititikberatkan oleh kelab itu.

"Mohon tuan pertimbangkan beberapa perkara dan melakukan post mortem terlebih dahulu mengapa BTFC sukar untuk kekal relevan dalam kancah bola sepak tempatan walaupun seperti yang kita tahu hampir sebahagian besar pemain BTFC merupakan bekas pemain FA Penang/Penang FC.

"Pemilihan Stadium Negeri Batu Kawan sebagai stadium tuan rumah mungkin boleh dipertimbangkan semula dengan fan base yang boleh dikatakan agak terhad, pemilihan Stadium Negeri Batu Kawan hanya merugikan sumber yang sedia ada.

"Cadangan, BTFC boleh menggunakan stadium dengan kapasiti yang lebih kecil supaya dapat membina ekosistem bola sepak berasaskan komuniti yang lebih berkesan iaitu Stadium Jalan Betek, Stadium USM dan Stadium Mini Bertam.

"Pemilihan nama pasukan juga memainkan peranan yang sangat penting, disebabkan oleh pasukan BTFC ini merupakan pasukan berasaskan komuniti, mungkin tuan presiden boleh menamakan semula (rebrand) pasukan yang sedia ada dalam konteks yang lebih besar.

"Misalnya Batu Kawan City FC, Bukit Mertajam Rovers FC, Nibong Tebal Eagles FC, Kepala Batas Antlers FC antara penjenamaan berasaskan komuniti yang lebih besar mengikut Parlimen bagi menarik sokongan dan membina fan base yang lebih luas," katanya.

Selain pemilihan stadium dan nama pasukan, penyokong itu juga menegaskan agar pihak pengurusan baharu perlu memastikan agar tajaan yang diterima perlu diikat untuk beberapa tempoh tahun dan bukan sekadar membantu dalam satu masa jangka pendek.

Dari segi strategi untuk melibatkan penyokong pula, Aiman mencadangkan mempertimbangkan untuk melaksanakan program bersama komuniti seperti klinik bola sepak, majlis pelancaran jersi kelab dan aktiviti yang melibatkan kelab dan 'pemain ke 12'.

razalif

Pemilik dan pengerusi baharu pasukan BTFC (tengah), Datuk Razalif Mohamad Zain. — Agensi

"Pihak pengurusan kurang berjaya bagi memastikan sponsorship ini kekal untuk tempoh beberapa tahun lagi disebabkan oleh dua perkara, fan base yang kecil dan prestasi pasukan yang tidak konsisten. Semoga dengan penglibatan ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan mampu memberikan nafas baru buat BTFC.

"Masalah utama bagi semua pasukan baik di peringkat liga amatur hingga ke liga super ialah kurang engagement antara kelab dan penyokong. Masalah ini memberikan kesan kepada fan base sesebuah kelab termasuk BTFC yang gagal menarik penyokong untuk turun hadir ke stadium memberikan sokongan kepada kelab berasaskan komuniti dan menimbulkan rasa ‘kelab kita punya’.

"Tuan presiden boleh mempertimbangkan untuk kita adakan program bersama komuniti, klinik bola sepak, majlis pelancaran jersi kelab (kali terakhir diadakan di Design Village beberapa tahun lepas tak silap), dan program yang melibatkan kelab dan penyokong.

"Pengurusan BTFC berjaya memastikan kelab yang berpengkalan di Bukit Tambun ini bebas daripada segala masalah atau isu melibatkan gaji pemain/staf kelab. Namun, kelab perlu mencari satu alternatif atau sumber kewangan yang lain tanpa mengharapkan penaja dan jualan tiket semata-mata.

"Ia bagi memastikan pengoperasian kelab dapat diteruskan dalam jangka masa panjang dengan melibatkan aktiviti ekonomi kelab seperti mana yang sedang diusahakan oleh Kedah Darul Aman FC," tambahnya.

brotherrr

Skuad kendalian Jacob sedang menjalani sesi latihan selama seminggu di Dubai. — Facebook/BTFC

Sekiranya pihak pengurusan yang dikepalai Razalif selaku pengerusi baharu mempertimbangkan cadangan tersebut, jangan terkejut jika BTFC mampu menjuarai Liga A1 Semi-Pro pada musim ini atau seterusnya.

Kedudukan terkini menyaksikan Bukit Tambun berada di kedudukan ke-12 daripada 15 pasukan bertanding dengan mengumpul empat mata keseluruhan setelah mengharungi tujuh perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram