[VIDEO] Keceriaan atlet China raih emas tak kekal lama, 'paddle' ping pong rosak dipijak jurufoto


  • Podium
  • Rabu, 31 Jul 2024

Wang Chuqin berang apabila bat ping pongnya patah dipijak jurufoto. — Agensi

BAGI mana-mana atlet, kejayaan meraih pingat emas di temasya Sukan Olimpik adalah detik terindah dalam karier mereka.

Mana tidaknya, selepas empat tahun berlatih, usaha yang ditampilkan membuahkan hasil, sekali gus membanggakan negara.

Ia pasti menjadi detik yang cukup menggembirakan bagi mana-mana atlet. Namun begitu, lain ceritanya buat seorang atlet China.

BACA LAGI: Paris 2024: Hilang konsistensi, pemanah wanita negara gagal mara ke suku akhir

BACA LAGI: Paris 2024: Pertemuan hidup mati Pearly-Thinaah, beregu Indonesia untuk tamatkan penantian 8 tahun

Keceriaan yang dimiliki oleh pemain ping pong, Wang Chuqin tidak bertahan lama kerana ketika dia sedang meraikan kejayaan memperoleh pingat emas, detik yang tidak diingini menimpanya.

Hal ini kerana, ketika dia bersama pasangannya, Sun Yingsha meraikan kejayaan memperoleh emas dalam acara beregu campuran pada Selasa, paddle atau bat ping pongnya rosak kerana jurufoto yang sedang meluru ke arahnya bagi mendapatkan gambar.

image_2024-07-31_14-34-34

Wang meraih pingat emas dalam acara ping pong beregu campuran. — Agensi

Jurufoto itu terpijak bat tersebut ketika sedang sibuk mendapatkan gambar terbaik daripada detik emas itu. Namun begitu, tindakan jurufoto itu membuatkan Wang naik angin.

Wang yang tidak percaya dengan apa terjadi, lantas marah dan kecewa kemudiannya naik berang mendesak jurufoto tersebut memberikan penjelasan.

Ia membuatkan jurulatih Wang perlu memeluknya dan menenangkannya. Tindakan itu kemudiannya berjaya membuatkan Wang lebih tenang.

Wang kemudiannya mengaku dirinya dikawal oleh emosi pada waktu itu kerana dia kehilangan aset penting untuknya beraksi dalam acara ping pong.

"Pada waktu itu, saya hilang kawalan terhadap emosi sikit. Saya tak boleh faham kenapa jurufoto mahu berbuat demikian.

"Saya rasa mereka tidak sengaja. Saya tak boleh nak buat apa sebab semuanya sudah terjadi. Saya percaya saya masih mampu bermain dengan baik dengan bat simpanan saya. Mungkin inilah takdir," katanya.

Kejadian itu mendapat tumpuan luas di China kerana Wang dan Sun merupakan pemain terkenal di sana dan majoriti penyokong mengecam tindakan jurufoto tersebut.

Wang dan Sun meraih pingat emas selepas memenangi acara beregu campuran berdepan wakil Korea Utara iaitu Kim Kum-yong dan Ri Jong-sik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram