KELAB Liga Super, Penang FC sudah pasti tidak mahu menambah jumlah kekalahan mereka daripada dua menjadi tiga.
Ia susulan kepada kekalahan 1-4 mereka kepada Selangor FC di tempat lawan pada Sabtu lalu.
Walaupun pada satu ketika, mereka berpeluang mendapatkan satu mata, tetapi kerapuhan pertahanan pada penghujung perlawanan membuatkan membuatkan Harimau Kumbang kecewa.
BACA LAGI: Gigit jari atau tidur lena? Penang FC terlepas sain penyerang 'kesayangan' penyokong
Melihat kepada kekalahan tersebut, sudah pasti pengendali Penang, Akmal Rizal tidak mahu skuadnya terus berada dalam belenggu kekalahan menjelang aksi berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Rabu.
Beraksi di laman sendiri, Akmal dengan jelas mahukan kemenangan diraih oleh para pemainnya.
Akmal mahu pemainnya bangkit bertemu KDN. — Penang Football Club
"Ya, kami perlu mendapatkan kemenangan. Jadi, sekarang (terpulang) bagaimana saya perlu bangkit kembali kerana perlawanan liga musim ini masih panjang, masih ada perlawanan lagi (untuk dimainkan).
"Ini akan tunjukkan atau memperlihat perwatakan pemain dan pasukan Penang sendiri, bagaimana kita tewas (kepada Selangor) dengan empat jaringan dan bangkit kembali bermain di tempat sendiri.
"Saya pasti, para pemain akan bangkit dan kita perlu melihat cara untuk kita mendapatkan tiga mata menentang KDN," kata Akmal kepada Majoriti.
Setakat ini, Akmal dan Penang mencatatkan prestasi yang sederhana dengan Harimau Kumbang mencatat jumlah seri sebanyak tiga kali daripada enam perlawanan liga diharungi mereka.
Satu kemenangan yang diraih adalah ketika berdepan Perak FC pada 13 Julai. Sementara dua kekalahan Penang adalah semasa berdepan Kedah Darul Aman FC dan Selangor yang merupakan dua kelab dalam kelompok lima terbaik liga.
Berdepan KDN yang menduduki tangga kedua tercorot liga, Penang berpeluang baik untuk meraih kemenangan ditambah beraksi di depan penyokong sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram