Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
MENANG tapi masih bolos dan menang tapi tak bermain cantik, Nidzam Jamil harus semakin berasakan jangkaan tinggi terhadapnya mengemudi barisan Gergasi Merah. Ada ketikanya mencebik dan ada kalanya ketawa, ketua jurulatih Selangor FC itu tetap menyerlahkan sisi cerianya selepas menundukkan Penang FC 4-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu malam.
Selepas menamatkan rentetan tiga kekalahan – 1-2 kepada Kuching City FC, 0-1 kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC dan 2-3 kepada Terengganu FC – jurulatih berusia 44 tahun itu seakan-akan sudah bersedia menangani apa saja 'persepsi' yang dianggapnya ada pelbagai dalam bola sepak dan tidak semua orang melihat sesuatu dari sudut positif semata-mata.
”Kita tentunya gembira dengan tiga mata pada hari ini, dan masalah yang dibawa oleh Penang bukan mudah, cuma akhirnya kita fikir bagaimana mahu keluar dari masalah ini,” katanya yang teruja kemenangan itu meletakkan Selangor FC di tangga kedua liga dengan 12 mata, enam mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
BACA LAGI: Anggap stigma sudah berkurang, bintang Selangor FC akui bola sepak wanita semakin diterima ramai
BACA LAGI: Alvin Fortes akhirnya 'pecah telur', Selangor pesta gol di MBPJ
Kemenangan 4-1 diraih skuad Gergasi Merah adalah cukup meyakinkan. — Facebook/Selangor FC
Didatangi soalan-soalan provokasi, Nidzam mempunyai jawapan terhadap setiap satu daripadanya tanpa berniat menyinggung perasaan sesiapa melainkan itu adalah pandangan dan apa yang dirasakannya.
“Banyak... empat hingga lima kali bolos awak sebut,” katanya sambil menarik muka terhadap satu soalan dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Selepas tidak melepaskan gol dalam tiga perlawanan pertama, Selangor FC dibolosi dalam kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dan bolos lagi dalam setiap perlawanan selepas itu – 1-2 dan 3-2 bertemu Kuching City FC dalam aksi suku akhir Piala FA, 0-1 kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC dalam liga, 2-3 kepada Terengganu FC dalam separuh akhir pertama Piala FA serta 4-1 ke atas Penang FC.
“Sudah tentu kalau team tak bolos, you happy. Semua jurulatih dari peringkat bawah sampai atas mengidamkan perlawanan yang tak dibolosi. Macam saya cakap dua hingga tiga game pertama bila kita tak dibolosi, akan ada game yang kita bermain teruk, kita dapat result tapi kita kena bolos.
Orozco mencetak nama sebagai salah seorang penjaring dalam perlawanan itu. — Facebook/Selangor FC
“Tapi tanggungjawab saya untuk mengurangkan risiko-risiko begini. Sudah tentu saya nak keluar dengan 4-0, 5-0, tak ada jurulatih yang tak nak keluar dengan result macam tu. Pemain-pemain juga punya cita-cita setiap game mereka nak clean sheet. Tanyalah mana-mana pertahanan, tidak dikenakan gol itu membina keyakinan.
“Dalam situasi ini, secara keseluruhan saya melihat kita boleh mengelakkan jaringan-jaringan itu sebenarnya. Itulah perkara-perkara kecil yang kita sedang usahakan untuk mendapatkan tidak dibolosi dengan gol-gol seperti penalti tadi (dengan Penang FC),” katanya.
Diasak dengan soalan selain keputusan 4-1 ke atas Penang FC itu, adakah dia berpuas hati dengan corak permainan pasukannya, Nidzam menyoal balik apakah wartawan melihat skuad Merah Kuning tidak bermain dengan baik?
Tuan rumah itu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi, seawal minit ketiga, namun pelawat bangkit mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti Rafael Vitor (m-63).
Sepakan penalti Yohandry Orozco (m-70) kembali meletakkan Selangor FC di depan dan dua lagi jaringan terserah kepada Alvin Fortes (m-89) dan Quentin Cheng (m-90+9).
Skuad Gergasi Merah akan terus mencari jalan untuk menambah baik prestasi. — Facebook/Selangor FC
“Kita rasa kita ada peluang untuk improve, untuk cemerlang. Sudah tentu kita nak ada di tempat yang dikatakan elit, contoh JDT, Terengganu. Kita nak berada di tempat tu, itu cita-cita kita.
“Sudah tentu kita nak ada kat (Piala) AFC. Kalau orang cakap Selangor ni bersedia ke tak bersedia untuk AFC, persepsi dalam bola sepak ni macam-macam. Tapi saya tak nak dikurung dengan persepsi-persepsi begini kerana saya fikir pada masa ini kita cuba dapatkan result, kita cuba bermain baik, kita cuba positif secara berterusan,” jelas Nizam.
Jurulatih itu juga mempertahankan corak permainan pasukannya di sebalik mengakui ada beberapa aspek yang perlu dinaik taraf dan memerlukan masa untuk dicapai.
“Tetapi perkara ini subjektif. Kalau awak tanya saya, ada sesuatu yang kita sedang usahakan untuk pasukan dan juga peminat. Mungkin penyokong ada satu impian melihat pasukan bermain dengan corak tertentu. Tapi pada masa ini saya rasa kita score berapa gol? (11 dalam liga, 6 dalam Piala FA).
“Jika berkeinginan lebih, sebagai jurulatih saya bertanggungjawab. Kita akan mencuba yang terbaik untuk membina perkara ni,” tambahnya.
Kemenangan di laman sendiri meletakkan skuad Gergasi Merah di tangga kedua. — Facebook/Selangor FC
Bercakap mengenai perancangan terdekatnya selepas ini, Nidzam berkata dia perlu melihat dahulu senarai pemain yang cedera dalam pertemuan dengan Penang FC itu, tahap kecergasan pemain selebihnya serta kemungkinan perlu menggilirkan pemain menjelang kunjungan ke gelanggang Sri Pahang pada Rabu ini dan menanti kedatangan Terengganu FC untuk separuh akhir kedua Piala FA pada 3 Ogos.
“Kita tak cakap kita nak turunkan pemain bergilir tapi penting untuk dua-dua perlawanan ni kerana kita tak ada game yang baik di tempat lawan.
“Sudah tentu kita nak menang dengan Pahang (di Temerloh). Dalam masa yang sama kita nak bawa mood yang bagus, bebas kecederaan, bebas penggantungan, dan perasaan yang bagus untuk lawan Terengganu nanti,” katanya.
Disoal apakah akan ada kejutan seperti Faisal Halim akan kembali beraksi dalam tempoh terdekat ini, Nidzam menjawab: “Tidak... dan tidak ada apa-apa kejutan. Tapi dia (Faisal) selalu bersama dengan kita. Saya suka dia selalu ada di sekitar pasukan kerana Faisal ada getaran positif.
“Bila dia ada semua akan gembira. Saya suka dia ada dengan kita,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram