INSIDEN simbahan asid terhadap Faisal Halim pada Mei lalu meninggalkan kesan cukup hebat terhadap pemain tersebut apabila dia tidak dapat beraksi untuk kira-kira tiga bulan.
Dia yang terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan terpaksa melupakan minit permainan demi memastikan kecederaan dialaminya sembuh secepat mungkin.
Proses berkenaan dilihat berjalan lancar apabila kulit yang terkesan daripada serangan tersebut sudah semakin kering dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan.
BACA LAGI: Persib Bandung, jaguh dari Korea dan Singapura boleh jadi lawan ideal Selangor di Asia
BACA LAGI: Kelebihan buat Khairulazhan kekalkan tempat di pintu gol Selangor FC tapi...
Tangan kiri Faisal Halim cedera teruk akibat mengalami serangan asid.
Malah, keyakinan Faisal juga sudah berada di tahap terbaik memandangkan dia sering hadir menyaksikan perlawanan Selangor FC di Stadium MBPJ, Selangor.
Ia sekali gus memberikan petanda bahawa pemain sayap tersebut sudah semakin berani untuk tampil ke khalayak meskipun tahap kesihatannya masih belum berada di tahap optimum.
Namun, melihat kepada perkembangan terkini, terdapat kemungkinan Faisal Halim akan kembali dalam masa terdekat berdasarkan kekerapannya berkongsi hantaran di media sosial peribadinya.
Pada Sabtu lalu, pemain berusia 26 tahun itu memuat naik beberapa keping gambar memaparkannya menyarung jersi skuad Gergasi Merah beberapa minggu sebelum serangan asid tersebut berlaku.
Ini termasuk foto yang menyaksikannya diturunkan dalam aksi pramusim dengan ia merupakan kali terakhir Faisal beraksi dalam jersi Merah Kuning.
Malah, pada Khamis, pemain yang juga dikenali sebagai Mickey itu sekali lagi berkongsi sekeping foto ketika dia baru sahaja diperkenalkan sebagai penyerang sayap skuad Gergasi Merah.
Perkongsian itu menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan penyokong yang beranggapan tonggak Selangor FC tersebut sudah semakin hampir untuk kembali beraksi.
Ketika ini, terdapat khabar angin mengatakan Faisal sudah berlatih di padang latihan kelab, namun tidak didedahkan kepada umum mahupun pihak media.
Bagaimanapun, kepulangannya ditepis pengendali pasukan, Nidzam Jamil yang tidak mahu membuka mulut mengenai peluangnya untuk kembali pada masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram