Bekas guru Faisal, Syamer Kutty kongsi resipi SMK TATAR selangkah rangkul trofi di Jerman


  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Mohamad Azizi selaku ketua jurulatih berkongsi bahawa disiplin dan semangat juang pemain menjadi faktor SMK Tatar layak ke peringkat separuh akhir.

NIAT hanya mahu mengumpul pengalaman sebanyak mungkin namun berkat usaha dan semangat juang yang dipraktikkan pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR), kini mereka selangkah lagi untuk lolos ke peringkat akhir Laola Cup.

Sekolah sukan dari Jitra, Kedah berkenaan sedang melakukan persiapan terakhir sebelum menentang FC Altyn Tach dari Turkmenistan bagi pusingan separuh akhir kejohanan di Hamburg, Jerman pada pukul 6.50 petang waktu Malaysia nanti.

Sekolah berkenaan sehingga kini masih berhasil mengekalkan rentak kemenangan dengan aksi suku akhir menyaksikan mereka berjaya menewaskan pasukan JDFS Alberts dari Latvia dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Muaz Azrul.

BACA LAGI: Siapa cepat dia dapat', 3 kelab 'tumpul' boleh sambar Lucas Silva bulan depan

BACA LAGI: Rangkul juara kumpulan Laola Cup, SMK TATAR harumkan nama Malaysia dan Kedah di bumi Jerman

Di peringkat kumpulan Kedah meraih keputusan menang 3-1 ke atas Altyn Tach dari Turkmenistan untuk perlawanan pertama, 2-0 menewaskan pasukan Olands Komb (Sweden) dan merekodkan kejayaan 4-1 menentang Aksil FC dari China.

Ditanya mengenai resipi kemenangan satu-satunya wakil negara di Laola Cup itu, Mohamad Azizi Abdul Aziz selaku ketua jurulatih berkongsi bahawa disiplin dan semangat juang pemain menjadi faktor SMK TATAR berhasil layak ke peringkat separuh akhir.

"Untuk permulaan kami hanya sasarkan nak capai seberapa banyak mata untuk saingan kumpulan. Tapi bila sampai Hamburg, aura pemain memang positif. Mungkin sebab pertama kali main di Eropah.

"Pesaing di peringkat kumpulan adalah kelab yang lahirkan pemain berbakat di negara mereka. Bila datang sini, kami hanya nak main dengan taktikal yang baik. Tapi bila pemain masuk padang, semangat kuat dan disiplin membawa kepada gameplay yang baik.

"Cuaca mencecah suhu 12 darjah Celsius memang merisaukan sebab warm up pun tak keluar peluh langsung. Tapi cuaca tak halang sangat pun sebab mungkin vibe (semangat juang) yang menaikkan semangat mereka, " katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-07-25 at 14.38.43

Kedah adalah wakil pertama Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan Laola Cup.

Mohamad Azizi juga gembira meskipun anak-anak buahnya mempunyai perbezaan ketara dari segi ketinggian dengan pemain luar negara lain namun kelajuan dimiliki 'ubi muda' Kedah jauh lebih hebat.

Jurulatih yang pernah melahirkan pemain kebangsaan seperti Faisal Halim dan Syamer Kutty Abba sewaktu bertugas bersama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Pulau Pinang gembira pasukannya menerima sokongan padu dari pasukan negara lain.

Dengan sokongan dari pelbagai pasukan dan taktikal diterapkan Mohamad Azizi, pengendali itu berharap akan meraih keputusan positif pada aksi separuh akhir ini untuk lolos ke peringkat akhir.

WhatsApp Image 2024-07-25 at 14.38.42

Pemain SMK TATAR boleh menyesuaikan diri beraksi dengan cuaca sejuk di Hamburg.

"Untuk perlawanan petang ini, kami akan gunakan taktikal sama dan kemaskan lagi disiplin untuk mengawal permainan. Insya-ALLAH akan buat satu sejarah baik untuk Malaysia.

"Besar harapan untuk buat satu kejutan dan satu sejarah untuk pasukan kita sebab ini baru tahun keenam dipertandingkan. Jika masuk ke final satu bonus untuk buka mata negara lain, kita ada talent tapi cara diketengahkan silap sikit," katanya.

Kejohanan Laola Cup di Hamburg, Jerman bertujuan untuk menyediakan platform kompetitif bagi pasukan bola sepak dari seluruh dunia termasuk Malaysia, untuk bersaing dan menimba pengalaman berharga di pentas antarabangsa.

Laola Cup telah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut di Hamburg, Jerman dan Kedah adalah wakil pertama Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

Ia merupakan kejohanan terbesar peringkat remaja yang diadakan di Jerman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram