Kemaraan Tang Jie-Ee Wei terkandas di suku akhir, tewas di tangan gandingan Korea Selatan


  • Podium
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Gandingan beregu campuran itu sebelum ini menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas. — Agensi

HARAPAN untuk menyaksikan gandingan campuran badminton negara untuk membawa pulang sebarang pingat dalam kategori itu tidak kesampaian selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir di peringkat suku akhir.

Mereka yang berdepan beregu dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun tewas straight set 21-19, 21-14 dalam masa 43 minit ketika aksi berlangsung di Arena La Chapelle, Perancis pada Khamis.

Aksi itu menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu sukar untuk menyekat kemaraan gandingan nombor lapan dunia dengan set pertama menyaksikan pasangan negara itu memberi tentangan sengit kepada Won Ho-Na Eun apabila saling mengutip mata.

BACA LAGI: [VIDEO] Tangisan pasukan badminton China atas podium undang sebak, ingati rakan seperjuangan meninggal atas gelanggang

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain badminton China rebah, meninggal dunia ketika tunggu servis lawan

Namun, kecederaan yang dialami Ee Wei ketika kedudukan 9-11 menyebabkan rentak pasangan negara terbabit terganggu sebelum akur tewas 19-21 pada set pertama.

Pasangan negara cuba bangkit pada set kedua namun rentak permainan yang dipamerkan mereka serba tidak menjadi hingga satu ketika ketinggalan 1-10.

Usaha, wakil negara untuk cuba mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berjaya apabila pasangan Korea Selatan itu terus melakukan serangan bertali arus untuk menjarakkan kedudukan sebelum memenangi perlawanan 21-14.

Walaupun tewas, pasangan beregu campuran negara itu boleh berbangga apabila penampilan pertamanya di pentas Olimpik berjaya melangkah sehingga ke pusingan suku akhir.

Pasangan Korea Selatan itu akan bertemu rakan senegaranya Seo Seung-jae and Chae Yu-jung di pentas separuh akhir.

Penyingkiran itu menyaksikan hanya tiga wakil negara masih kekal dalam temasya Olimpik 2024, iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam kategori beregu lelaki, Pearly Tan-M Thinaah bagi beregu wanita dan Lee Zii Jia dalam perseorangan lelaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram