PETINJU wanita Muslim pertama yang mewakili Australia di Sukan Olimpik,Tina Rahimi, mengkritik larangan hijab dalam kalangan atlet Perancis, yang menghalang mereka menyertai sukan tertentu di Sukan Olimpik.
Menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya, Rahimi percaya wanita sepatutnya mempunyai hak untuk memilih cara mereka berpakaian.
“Dengan atau tanpa hijab. Saya memilih untuk memakai tudung kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama saya dan saya bangga melakukannya," katanya.
BACA LAGI: Paris 2024: Wakil menembak, renang Malaysia berputih mata terpaksa pulang awal
BACA LAGI: Paris 2024: 'Debut' pengantin baharu buka langkah kemenangan Malaysia di gelanggang badminton
Hantaran yang dibuat Rahimi menerusi akaun media sosialnya. — Instagram/tinarahimii_
Wanita berusia 28 tahun yang berasal dari Bankstown, Sydney, memakai lengan panjang dan tudung dalam acara terlibat.
“Kita tidak sepatutnya memilih antara kepercayaan atau sukan kita. Inilah yang terpaksa dilakukan oleh atlet Perancis," ujarnya.
Larangan hijab itu hanya dikenakan kepada atlet Perancis yang bertanding di sukan tersebut dan meliputi sukan seperti bola sepak, bola keranjang, bola tampar dan tinju.
"Tidak kira bagaimana anda melihat atau berpakaian, apa etnik anda atau agama yang anda ikuti. Kita semua bersatu untuk mencapai satu impian yang sama.
"Tiada siapa yang harus dikecualikan. Diskriminasi tidak dialu-alukan dalam sukan, khususnya dalam Sukan Olimpik," tegasnya.
Pada Jun lalu, gabungan kumpulan termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International menulis kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa mengutuk larangan itu dan menggesa campur tangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana ia dianggap sebagai satu diskriminasi dan pencabulan terhadap hak asasi manusia.
Menjelang majlis perasmian, pelari pecut Perancis, Sounkamba Sylla tidak dapat menyertainya kerana bertudung. Namun, pada saat-saat akhir, dia dibenarkan menyertai majlis itu selepas menutup rambutnya dengan topi. — Wisconsin Muslim Journal
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram