[VIDEO] Gaya santai menang perak Olimpik, Yusuf Dikec rupanya bekas anggota tentera


  • Podium
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Yusuf hadir dengan reputasi cukup menarik apabila pernah menjuarai pelbagai pertandingan menembak di peringkat kebangsaan dan Eropah. — Agensi

TULAR sekeping foto daripada temasya Olimpik 2024 memaparkan seorang atlet dalam acara menembak kelihatan cukup tenang tanpa sebarang kelengkapan khas dikenakannya ketika bertanding.

Menariknya, atlet tersebut, Yusuf Dikec yang mewakili Turkiye menamatkan saingan dengan cukup bergaya apabila membawa pulang pingat perak dalam kategori pistol udara 10 meter (m) campuran bersama pasangannya, Sevval Ilayda Tarhan.

Pencapaian itu sudah tentu mengagumkan memandangkan lelaki berkenaan kelihatan cukup tenang, namun berjaya mengharumkan nama negaranya di pentas tertinggi.

BACA LAGI: Olimpik Paris terus cetus kontroversi, benarkan 2 peninju gagal ujian jantina bersaing

BACA LAGI: 'Tiada siapa harus dikecualikan', petinju Australia kecam larangan berhijab di Olimpik

Sejak kejayaan itu dicatatkan pada Selasa, orang ramai terus tertarik dengan personaliti Yusuf sehingga ada yang mula mencari kisah lama mengenainya.

Malah, ada juga yang beranggapan gaya atlet berusia 51 tahun itu tidak ubah seperti pembunuh upahan kerana kelihatan cukup tenang dalam acara tersebut.

Tetapi, ramai tidak tahu bahawa Yusuf yang merupakan anak jati daerah Kahramanmaras, Turkiye merupakan bekas anggota tentera sebelum menceburi bidang menembak secara serius.

Berdasarkan artikel terdahulu mengenainya, atlet berkenaan menyertai akademi Gendarmerie dengan ia adalah badan ketenteraan khas di sekitar Eropah ditugaskan mengawal keselamatan awam.

Namun, perkhidmatannya dalam badan beruniform itu tidaklah memakan masa terlalu lama apabila pada 2001, dia sudah menunjukkan minat dalam sukan menembak, setahun selepas menamatkan pengajian daripada akademi.

srxeaumy_0

Yusuf ketika bergelar seorang anggota tentera lebih 20 tahun lalu.

Sejak menceburkan diri dalam sukan berkenaan, Yusuf tidak lagi menoleh ke belakang apabila pernah berkali-kali menyertai pertandingan, termasuk yang dianjurkan badan beruniform Turkiye.

Antara pencapaian terbaik dimilikinya adalah muncul juara peringkat kebangsaan sebanyak beberapa kali selain memecahkan rekod dalam sukan berkenaan.

Menurut statistik, Yusuf kini memegang rekod dalam kategori pistol udara lelaki dewasa di Turkiye dengan 585 mata diraih selain rekod dalam Badan Ketenteraan Turkiye (TAF) selepas pernah memungut 587 mata.

Selain itu, atlet tersebut pernah menyertai pertandingan sekitar Eropah dengan pelbagai pingat emas berada dalam koleksinya, termasuk dalam Kejohanan Eropah.

Bagaimanapun, selepas lebih 20 tahun menceburi sukan itu, Yusuf akhirnya mewakili Turkiye dalam temasya Olimpik yang menyaksikan dia berjaya meraih pingat perak dalam penampilan pertamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram