[VIDEO] Tangisan pasukan badminton China atas podium undang sebak, ingati rakan seperjuangan meninggal atas gelanggang


  • Podium
  • Rabu, 03 Jul 2024

Tangkap layar suasana pilu yang menyelubungi acara serahan medal dan piala kejuaraan acara pasukan campuran AJC 2024.

DUNIA badminton pada Ahad dikejutkan dengan berita kematian seorang pemain remaja Chin, Zhang Zhi Jie yang meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba semasa perlawanan Kejohanan Badminton Remaja Asia (AJC) 2024 yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia.

Insiden menyedihkan itu terjadi ketika pemain muda terbabit beraksi menentang Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

Laporan perubatan menunjukkan Zhi Jie, 17, mengalami serangan jantung semasa insiden.

BACA LAGI: Calon PN nafi dakwaan isu air Sungai Bakap tak pernah dibawa ke sidang DUN

BACA LAGI: Malaysia sedia kerjasama dengan Indonesia, hantar pasukan pengaman ke Palestin

Ketika kejadian, pemain remaja itu sedang beraksi menentang lawannya, Kazuma Kawano, sebelum dia secara tiba-tiba rebah dalam keadaan tertiarap di dalam gelanggang.

Insiden menyayat hati terbabit turut dirakam oleh rakaman siaran langsung kejohanan berkenaan.

Susulan daripada kejadian itu, Persatuan Badminton China (CBA) melahirkan rasa dukacita di atas kehilangan Zhi Jie yang disifatkan sebagai pemain yang cukup berbakat.

badminton-2_169

Pasukan badminton remaja China ketika menerima hadiah bagi acara pasukan campuran AJC) 2024 pada Selasa. — Agensi

Di sebalik pemergian mengejut yang berlaku, skuad badminton remaja China menunjukkan semangat cukup luar biasa apabila mereka terus mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan tersebut.

Malah, pasukan Tembok Besar China itu turut berjaya merangkul tempat pertama acara berpasukan campuran AJC 2024 dengan menewaskan Korea Selatan 3-1 dalam aksi yang berlangsung pada Selasa.

Namun begitu, kemenangan diperolehi diraikan dengan penuh kedukaan oleh skuad China.

Situasi itu jelas terlihat selepas hampir kesemua daripada anggota pasukan mereka tidak dapat menahan kesedihan ketika mereka dijemput ke atas podium bagi menerima medal dan piala kemenangan.

Peristiwa memilukan terbabit juga dirakam dengan videonya tular di media sosial memaparkan beberapa orang pemain China gagal menahan perasaan dan mengalirkan air mata.

Pada upacara penyampaian hadiah itu, pemain pasukan terbabit turut membawa jersi milik Zhi Jie sebagai tanda memperingati pemain muda terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram