Paris 2024: Pertemuan hidup mati Pearly-Thinaah, beregu Indonesia untuk tamatkan penantian 8 tahun


  • Podium
  • Isnin, 29 Jul 2024

Pearly-Thinaah memerlukan kemenangan menentang beregu kesembilan dunia Apriyani-Siti Fadia untuk mara ke suku akhir temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berdepan misi hidup mati dalam perlawanan terakhir Kumpulan A menentang pasangan Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Selasa.

Pasangan itu memerlukan kemenangan menentang beregu kesembilan dunia Apriyani-Siti Fadia untuk mara ke suku akhir.

Pearly-Thinaah dijangka berdepan satu lagi pertemuan sengit menentang Apriyani-Siti Fadia dengan rekod pertembungan antara kedua-dua beregu itu adalah seimbang iaitu 3-3.

BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya

BACA LAGI: Siasatan kapal selam Scorpene: SPRM jumpa petunjuk baharu

Pasangan Indonesia terbabit sebelum itu tewas kedua-dua perlawanan mereka dalam kumpulan setakat ini menentang Chen Qingchen-Jia Yifan dan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara menyebabkan peluang untuk ke suku akhir sudah tertutup rapat.

Bagaimanapun, Thinaah menjangkakan mereka tidak akan diberikan cabaran mudah oleh pihak lawan.

“Kami masih mempunyai satu lagi perlawanan, jadi kami mahu kekal fokus dan hanya memberikan 100 peratus,” kata Thinaah.

Pada Ahad, pasangan beregu ke-13 dunia itu terpaksa bekerja keras menumbangkan bekas juara dunia dua kali dari Jepun, Matsumoto-Nagahara 18-21, 21-15, 21-16 untuk menghidupkan semula harapan mereka mara ke suku akhir.

Mereka sebelum itu tewas tipis kepada pemain nombor satu dunia dari China Qingchen-Yifan sehari sebelumnya.

Pearly-Thinaah yang membuat penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik melahirkan kegembiraan pulang dengan kemenangan pertama mereka dalam pertandingan itu tetapi mengakui mereka masih mempunyai kerja perlu dilakukan untuk pergi lebih jauh.

“Kami sangat teruja selepas kemenangan ini.

“Kami bermula dengan kekalahan tetapi kami tidak mahu memikirkan perlawanan semalam. Kami hanya mahu mengambil yang positif dan bermain seperti tiada apa-apa kerugian,” ujar Thinaah.

Dalam pada itu, pasangan tersebut sememangnya mengakui terhadap kemungkinan menghadapi tiga perlawanan sukar selepas diletakkan dalam kumpulan maut.

“Apabila kami melihat keputusan seri, kami tahu ketiga-tiga perlawanan akan menjadi sukar tetapi kami mahu memberikan yang terbaik dan selebihnya kami menyerahkan kepada takdir,” kata Pearly.

"Selagi kami memberikan segala-galanya di gelanggang dan tidak menyesal, itu sudah memadai untuk kami," ujar Pearly.

Mengenai kemenangan mereka ke atas Matsumoto-Nagahara, Pearly berkata, mereka berjaya membuat perubahan terhadap pendekatan mereka semasa set kedua.

“Kami mengubah minda kami dalam set kedua. Kesabaran adalah kunci bagi kami.

“Daripada perlawanan pertama ketika kami mendahului, saya rasa kami mahu mendapatkan beberapa mata mudah dan cuba melebarkan kedudukan tetapi ini memburukkan lagi keadaan, jadi pada perlawanan kedua, kami saling mengingatkan supaya lebih bersabar.

“Kami mula menikmati rali dan ini berkesan untuk kami (dalam set kedua dan ketiga),” ujarnya.

Kali terakhir Malaysia mara ke suku akhir beregu wanita menerusi gandingan Woon Khe Wei dan Vivian Hoo pada edisi Rio de Janeiro 2016.

Adakah penantian lapan tahun akan berakhir? — Majoriti/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram