TUAH tidak memihak kepada pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh selepas tewas di tangan atlet Brazil, Ana Luiza Caetano di peringkat 16 terbaik pada Selasa.
Keputusan itu turut memusnahkan harapan Syaqiera untuk mara ke suku akhir acara recurve individu di Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam aksi sengit yang berlangsung di Hotel des Invalides itu, pemenang terpaksa ditentukan hingga ke set penentuan dengan Ana lebih bertuah untuk melangkah ke pusingan berikutnya apabila melakar kemenangan 6-5 untuk mengecewakan kem Malaysia.
BACA LAGI: Paris 2024: Wakil menembak, renang Malaysia berputih mata terpaksa pulang awal
BACA LAGI: Paris 2024: 'Debut' pengantin baharu buka langkah kemenangan Malaysia di gelanggang badminton
Atlet yang berusia 23 tahun tersebut memulakan aksi dengan cukup meyakinkan, berjaya mendahului lawan pada set ketiga selepas terikat 27-27 dan 28-28 pada set pertama dan kedua sebelum menang 28-24 di set ketiga untuk mendahului 5-3.
Begitu pun konsistensi itu hilang dalam set berikutnya apabila terikat 27-27 di set keempat sebelum set kelima menyaksikan panahan terakhir Syaqiera sedikit tersasar di mata lapan untuk tewas 24-29, sekali gus diheret ke aksi penentuan.
Panahan Syaqiera sekali lagi tersasar di mata lapan manakala Caetano tenang meraih sembilan mata untuk melangkah ke suku akhir.
Terdahulu, Syaqiera mara ke pusingan 16 terbaik selepas melepasi halangan pemanah Moldova, Alexandra Mirca.
Dalam aksi peringkat 32 recurve individu wanita itu menyaksikan Syaqiera melakar kemenangan 6-0 dengan 30-27, 27-23, 26-24. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram