Nasib Saravanan seperti terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau


  • Podium
  • Ahad, 14 Jul 2024

Saravanan menyertai Sri Pahang pada awal musim ini dengan harapan tidak lagi mengalami masalah gaji. — Facebook/ SriPahang

SALAH satu faktor seorang pemain bola sepak memutuskan untuk berhijrah ke pasukan lain adalah disebabkan untuk lari daripada masalah gaji yang dialami kelabnya sehingga mengganggu periuk nasinya.

Namun jika menyaksikan situasi Liga Malaysia (Liga M) kini, bilangan kelab yang tidak mengalami tunggakan gaji boleh dihitung dengan jari dengan menyaksikan tunggakan gaji mencecah berbulan-bulan.

Situasi berkenaan menyaksikan ada pemain yang masih terpalit dengan masalah tunggakan gaji walaupun sudah menyarung jersi baharu pada musim ini. Salah satu yang menjadi mangsa ialah tonggak muda, T. Saravanan.

BACA LAGI: Heberty, Juan Muniz duo paling bahaya Liga Super setakat ini

BACA LAGI: Kalau seri sudah memadai, elak bolos sampai 3 gol, pesan Legenda Sabah

Penyerang sayap kiri muda itu kini diibaratkan seperti terlepas keluar mulut buaya, masuk mulut harimau kerana dia terpaksa meninggalkan Kuala Lumpur (KL) City ekoran isu gaji namun perpindahan ke Sri Pahang juga memakan diri.

"Ketika menyertai Sri Pahang beberapa bulan lalu, bintang muda ini memberitahu 'saya ada mulut untuk disuap, keluarga untuk ditanggung'. Katanya, dia terpaksa meninggalkan KL City adalah kerana masalah tunggakan gaji.

"Manakala Pahang pula datang dengan tawaran yang tak dapat ditolak. Kini, Pahang yang pada waktu itu datang gah dengan tawaran tak dapat ditolak juga tidak membayar gaji yang difahamkan tertunggak antara tiga hingga empat bulan.

"Saravanan mungkin sangkakan dia sudah diselamatkan dari mulut harimau, malangnya dia termasuk ke dalam mulut buaya," kata peminat sukan tanah air, Otai Sukan yang berkongsi kisah sedih Saravanan di laman Facebook.

WhatsApp Image 2024-07-14 at 11.15.59

Saravanan antara pemain muda yang menyerlah ketika bersama KL City. — Facebook/KLCity

Kisah tunggakan gaji Sri Pahang sebelum ini sudah dikongsikan oleh beberapa pemain dengan memberi petunjuk halus dengan memuat naik luahan berbentuk sindiran dan gesaan kepada pihak pengurusan.

Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang semakin membimbangkan penyokong kerana ia telah memberi kesan kepada permainan dan prestasi pemain Tok Gajah musim ini.

Misalnya, Sri Pahang FC merekodkan kekalahan kedua musim ini selepas mereka tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu.

Kekalahan pertama Tok Gajah ketika dimalukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mengatasi Sri Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Jun lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram