KEMENANGAN keempat direkodkan Selangor FC dalam saingan Liga Super musim ini selepas pasukan itu menundukkan Penang FC 4-1 dalam aksi yang berlangsung di laman sendiri pada Sabtu.
Tumpuan semestinya diberikan kepada Mukhairi Ajmal yang menjaringkan gol seawal minit ketiga untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Jaringan itu turut menyaksikan penantian pemain Harimau Malaya berkenaan untuk meraih gol sulungnya musim ini tamat selepas beraksi dalam kesemua enam perlawanan Liga Malaysia.
BACA LAGI: Brendan Gan, Kobe Jae Chong antara 5 nama dicanang perkuat Gergasi Merah bulan depan
Mukhairi (tengah) jelas berpuas hati selepas meraih gol pertamanya musim ini. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, apa yang menarik adalah apabila pemain sayap itu meraikan jaringannya dengan gaya sedikit berbeza berbanding sebelum ini.
Ini kerana Mukhairi kelihatan melakukan isyarat 'peace' sementara kedua-dua tangannya disilangkan di dada sambil rakan sepasukannya turut meraikan gol awal berkenaan.
Ketika ditanya mengenai gaya tersebut, pemain berusia 23 tahun berkenaan menjelaskan bahawa ia adalah sebagai simbolik dedikasi buat penyokong muda Selangor FC.
"Dua hari lepas, saya (ada) pergi ke sekolah rendah, ada dua orang murid berkata kepada saya, kalau jaringkan gol tolong raikan seperti ini,” katanya sambil mengulang gaya yang dilakukannya di padang.
Mukhairi (tengah) yang hadir ke program komuniti di SK Taman Sri Muda 2, Shah Alam. — Facebook/Selangor FC
Penjelasan berkenaan sudah tentu amat menarik kerana ia membuktikan Mukhairi menghargai setiap sokongan diterima, lebih-lebih lagi daripada penyokong skuad Gergasi Merah.
Musim ini, bekas kapten skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan tersebut hanya merekodkan satu bantuan jaringan dan satu gol dengan kedua-duanya dihasilkan dalam Liga Super.
Dalam perlawanan berkenaan, Selangor FC meraih kemenangan bergaya dengan gol pasukan dijaringkan Mukhairi, Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Quentin Cheng.
Jaringan skuad Harimau Kumbang pula terhasil menerusi sepakan penalti kapten pasukan, Rafael Vitor selepas pemain simpanan mereka, Nabil Ahmad Latpi dijatuhkan Safuwan Baharudin.
Kemenangan itu meletakkan pasukan Lembah Klang berkenaan di kedudukan kedua Liga Super, enam mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim.
Selepas ini, mereka bakal bertandang ke Stadium Temerloh, Pahang untuk berdepan skuad Tok Gajah yang masih belum meraih rentak sebenar musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram