[VIDEO] Saya sendiri tak sangka dapat beraksi — Azfar Arif


  • Podium
  • Isnin, 29 Jul 2024

Azfar (kanan) merupakan watak penting yang membantu skuad Tok Gajah menamatkan rentetan kekalahan. — Facebook/Sri Pahang FC

RENTETAN kekalahan tiga perlawanan berturut-turut dialami Sri Pahang FC akhirnya tamat selepas pasukan berkenaan seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Cheras, KL pada Jumaat.

Meskipun hanya meraih satu mata, ia sudah tentu membawa sedikit kelegaan buat pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad yang berusaha keras untuk mengulangi prestasi tahun lalu.

Bagaimanapun, perancangan sedikit berbeza diambil bagi aksi berkenaan apabila jurulatih kelahiran Singapura itu memilih untuk meletakkan Azfar Arif sebagai penjaga gol.

BACA LAGI: Jaga-jaga Sri Pahang, semangat kem KL City sudah pulih, Josue mahu pecah rekod Fandi Ahmad

BACA LAGI: Kedudukan Sri Pahang bukan ukuran, KL City lega 2 watak utama sedia ranap Tok Gajah

ZARIF

Azfar kini bersaingan dengan Zarif Irfan (gambar) sebagai penjaga gol utama skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Perubahan itu sememangnya menarik memandangkan Sri Pahang FC sering meletakkan Zarif Irfan Hashimuddin di posisi berkenaan setakat tiga bulan saingan Liga Malaysia berlangsung.

Keputusan Fandi Ahmad tersebut jelas membuahkan keputusan positif apabila Azfar beraksi dengan cemerlang apabila beberapa kali menggagalkan percubaan pemain lawan, terutamanya daripada Paulo Josue.

Persembahan cemerlang itu sekali gus menerima pujian rata-rata penyokong Tok Gajah yang berpuas hati dengan debut bekas pemain Penang FC tersebut.

Malah, bagi Azfar sendiri, peluang diberikan kepadanya adalah sedikit mengejutkan, namun dia bersedia untuk memikul tugas setiap kali diberikan.

"Saya pun tak jangka saya dapat bermain kerana sebelum ini, saya kerap turun ke skuad Bawah 23 Tahun (B-23) untuk saya dapatkan minit permainan.

"Jadi, apabila beraksi dalam pasukan utama, ramai pemain senior seperti Zarif Irfan membantu saya. Alhamdulillah, berkat sokongan daripada rakan-rakan dan jurulatih melihat saya berlatih, saya dapat beraksi pada malam ini," katanya kepada MFL.

Pemain kelahiran Terengganu itu menyertai skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan lalu dengan harapan dia dapat mengisi kekosongan ditinggalkan Izham Tarmizi.

Namun, setakat ini, Azfar hanya berpeluang merekodkan satu penampilan, iaitu ketika di Stadium Cheras memandangkan Fandi lebih gemar dengan pengalaman dimiliki Zarif Irfan.

Tetapi, aksi cemerlang dalam perlawanan sulungnya buat Sri Pahang FC berkemungkinan dapat memberikannya peluang lebih kerap sebagai benteng pertahanan terakhir bagi pasukannya.

"Persaingan dalam mana-mana pasukan pasti ada, tetapi bagi saya, bersainglah secara sihat. Sesiapa yang dapat diturunkan, mainlah dengan sebaiknya.

"Sekarang ini, saya sudah buktikan kepada jurulatih dengan dia juga sudah memberikan kepercayaan buat saya. Jadi, selepas ini, sesiapa dapat diturunkan, mainlah sebaiknya," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram