Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
SUDAH banyak keluh-kesah yang didengar daripada Fandi Ahmad sejak awal musim ini. Satu demi satu masalah dihadapi hinggakan ketua jurulatih Sri Pahang FC itu mengeluh terhadap pelbagai kemelut yang seolah-olah tidak mahu berkesudahan hinggalah keputusan seri dengn Kuala Lumpur City (KLC) FC, Sabtu lalu membawa sedikit sinar.
“Alhamdulillah, kita dapat satu mata... tidak mengalami kekalahan ketiga (dalam liga) yang paling penting untuk moral pasukan kita,” katanya mengenai keputusan 0-0 di Stadium Cheras itu yang mengakhiri dua kekalahan berturut-turut – 0-3 kepada JDT (22 Jun) dan 0-2 kepada Negeri Sembilan FC (13 Julai) yang memberikan lawan kemenangan pertamanya musim ini.
“Alhamdulillah, ada peningkatan. Yang baik sekali kita nampak sangat agresif di bahagian midfield, ini dengan penukaran dua pemain muda kita (Ashar Al Aafiz dan Ibrahim Manusi). Kita berterima kasih kepada pemain yang bermati-matian, susah juga kita nak menang dengan KL, pasukan yang baik,” katanya.
BACA LAGI: Jaga-jaga Sri Pahang, semangat kem KL City sudah pulih, Josue mahu pecah rekod Fandi Ahmad
BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber
Sri Pahang gagal mencuri tiga mata semasa bertemu KL City di Cheras. — Sri Pahang FC
Satu mata itu meletakkan Sri Pahang di tangga ke-10 – jauh berlawanan dengan tempat kelima yang diraihnya pada akhir musim lalu – tetapi itu bukan kebimbangan utama Fandi ketika liga baru memasuki perlawanan keenam daripada keseluruhan 24 perlawanan sepanjang musim 2024/25.
“Yang merisaukan sekarang, kita kurang dapat menjaringkan gol, itu masalah kita sebenarnya. Permainan tiada masalah, pada hari-hari perlawanan kita mungkin ada satu dua peluang (tapi dihampakan) hantaran yang kurang tepat.
“Kita akan cuba membina balik dari satu mata ini, mudah-mudahan perlawanan akan datang kita akan lebih baik dan mungkin dapatkan kemenangan kita,” tambahnya.
Ditanya apa yang diberitahunya kepada pemain ketika rehat separuh masa perlawanan dengan The City Boys itu, Fandi berkongsi dia hanya menuntut mereka bermati-matian dan mengikhtiarkan untuk sekurang-kurangnya menyelamatkan satu mata dengan mengelakkan kalah lagi.
“Saya ingatkan kita jangan buang bola. Yang penting bila hilang bola, kita harus cuba mendapatkannya kembali secepat mungkin pasal KL punya serangan balas selalunya cepat. Tapi kita dapat patahkan serangan mereka melalui pemain-pemain di bahagian midfield kita.
“Strategi kita kalau kita dapat kita main cepat ke depan dan kita jangan mundur ke belakang. Jadi, babak kedua, saya cakap kita bermati-matian. Mereka bermasalah, kita pun bermasalah tapi kita harus dapatkan setidak-tidaknya satu mata,” tambahnya.
Fandi Ahmad kecewa dengan prestasi semasa Sri Pahang. — Sri Pahang FC
Perjalanan Sri Pahang musim ini tidaklah selancar yang diharapkan. Membawa masuk dua tenaga import baharu -- bek tengah, Aleksandar Cvetkovic dari kelab Serbia, FC Aarau dan penyerang tengah, Mykola Agapov dari kelab Kazakhstan, Akzhayik Uralsk – skuad Tok Gajah itu dilihat seimbang dengan mengekalkan Stefano Brundo, Sergio Aguero, David Rowley, Manuel Hidalgo dan Kpah Sherman.
Memulakan musim dengan kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan seri 2-2 dengan Kuching City, mereka menerima kejutan pertama apabila tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Penang dalam aksi Piala FA dan sejak itu bermulalah masalah.
Majoriti dalam laporannya 3 Julai lalu memetik sumber sebagai mengesahkan pasukan Pantai Timur itu dibelenggu masalah tunggakan gaji hingga ada pemainnya yang mendedahkannya secara halus di media sosial.
"Ya, kami (Sri Pahang) memang ada masalah tunggakan gaji seperti semua orang tahu. Tapi saya harap mereka (pihak pengurusan) dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera. Kami juga sedang melakukan persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan," kata sumber itu.
Seakan-akan mengeyakan impak daripada masalah berkenaan dan fokus pemain yang terganggu, Sri Pahang menampilkan antara aksi terburuknya dalam kekalahan 0-2 kepada skuad Jang itu di halaman sendiri pada 13 Julai.
Fandi ketika itu menyimpulkan tiada apa yang menjadi dengan pasukannya sebagai punca kekalahan manakala Negeri Sembilan yang tewas tiga perlawanan pertamanya dalam liga, dianggap lebih laparkan kejayaan.
Sri Pahang tewas kepada Negeri Sembilan di laman sendiri. — Sri Pahang FC
Dalam keadaan skuad Tok Gajah itu masih terkapai-kapai, Sri Pahang mengumumkan tonggak tengah dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev, meninggalkan pasukan untuk menyertai kelab Neftchi Fergana di negara asalnya.
Ruziev, 29, yang menyertai pasukan dalam jendela kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) 2023 dan tampil dalam 19 perlawanan, turut berperanan membantu skuad Tok Gajah menamatkan kempen di tempat kelima liga musim lalu.
Fandi jelas kecewa dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk menjaringkan gol selepas hanya menghasilkan tiga gol -- pasukan dengan jaringan terendah dalam Liga Super setakat ini bersama Negeri Sembilan.
Lantaran itu, jurulatih itu melakukan perubahan dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang KL City. Antara pemain yang diberi peluang ialah Ibrahim, Ashar, Saiful Jamaluddin dan penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri – yang cemerlang menggagalkan percuban barisan serangan tuan rumah.
Meskipun baru melakukan penampilan pertamanya, Ibrahim pula dilihat tidak kekok mengawal bahagian tengah bersama Saiful. Malah, pemain berusia 22 tahun itu juga berusaha memberi cabaran kepada pemain-pemain tengah KL City yang lebih berpengalaman seperti Paulo Josue dan Zhafri Yahya.
Pada pemain-pemain muda, Fandi boleh menyandarkan harapan untuk membawa perubahan dalam pasukan yang bakal berdepan ujian getir ketika menjadi tuan rumah kepada Selangor FC, Rabu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram