SELAIN rancak mengumumkan ketibaan wajah baharu, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga tidak terlepas daripada menyingkirkan beberapa tonggak lama termasuk import bagi memberi ruang kepada pemain lain untuk mendapatkan minit permainan.
Setakat ini, Harimau Selatan sudah membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Park Jun-heong sebagai pemain pertahanan baharu dan Enzo Lombardo di bahagian serangan dan Christian Abad Amat sebagai rekrut terkini mereka untuk pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Seiring dengan kehadiran tiga pemain berkenaan, Harimau Selatan juga dikhabarkan dalam proses melepaskan seorang pemain iaitu Nicolao Dumitru yang dikatakan akan berhijrah ke pasukan Liga 1 Indonesia, PSS Sleman.
BACA LAGI: Import 'ghaib' muncul kembali, disyor ganti Arif Aiman buat sementara waktu
BACA LAGI: Sedih menang dengan cara begini — TMJ
Khabar angin itu juga sudah tersebar dalam kalangan penyokong di negara jiran namun rata-ratanya memberi maklum balas yang kurang senang dengan kehadiran bekas pemain kelab gergasi Thailand, Buriram United itu.
Desas-desus bekas pemain yang pernah bersama Nottingham Forest di England pada musim 2016/2017 itu akan menyertai PSS Sleman semakin kuat selepas tular di media sosial mengatakan pemain dari Itali itu menyertai sesi latihan Super Elja.
Reaksi negatif daripada penyokong PSS Sleman itu mula dilontarkan apabila pemain berusia 32 tahun berkenaan difahamkan sudah hampir lapan bulan tidak turun ke padang dan mempunyai pelbagai sejarah kecederaan berbeza.
Berdasarkan rekod perlawanan yang disertainya di laman Transfermarket menunjukkan aksi kompetitif terakhir Nicolao berlangsung pada 6 Disember 2023, ketika dia masih bermain di Buriram United.
Tangkap layar kelibat Nicolao menyertai sesi latihan Super Elja.
Sejak diumumkan sebagai pemain import baharu skuad kendalian Hector Bidoglio pada awal musim ini, pemain sayap kiri itu masih belum berpeluang untuk muncul dalam perlawanan liga domestik bersama JDT.
Dari segi sejarah kecederaan pula, Nicolao pernah mengalami kecederaan kaki pada 3 April 2021 sehingga memaksanya untuk berehat selama 51 hari. Dalam tempoh kecederaan ini, dia terlepas 13 perlawanan dengan Suwon Samsung Bluewings.
Manakala, pada musim 2017/2018, Nicolao turut mengalami kecederaan hamstring selama 28 hari dan menyebabkan Nicolao terlepas empat perlawanan bersama kelabnya ketika itu iaitu Gimnastic de Tarragona.
Minit permainan yang kurang dan sejarah kecederaan itu membuatkan ada segelintir penyokong kurang menyambut baik cadangan pihak pengurusan dan kejurulatihan PSS Sleman untuk merekrutnya bagi musim Liga 1 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram