[VIDEO] Digelar larian 'bencana', tindakan atlet muda Britain berhenti tiba-tiba bawa padah


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

Tindakan Odey-Jordan memakan diri dan menyaksikan dia menamatkan saingan di tempat keempat. — Agensi

IMPIAN untuk mendapatkan pingat emas tidak kesampaian buat seorang pelari Britain selepas atlet muda berkenaan mengalami kekalahan memalukan ketika bertanding di Kejohanan Bawah 18 tahun di Banska Bystrica, Slovakia baru-baru ini.

Jake Odey-Jordan bermula dengan sangat baik bagi acara pecut 200 meter (m) apabila selesa mendahului rakan-rakannya dengan pengulas perlumbaan berkenaan juga mengatakan bahawa bintang muda itu mempunyai sinar untuk mendapatkan pingat emas.

Bagaimanapun, hanya beberapa saat sebelum melintasi garisan penamat, warga Britain berketinggian 1.8 meter tersebut secara tiba-tiba memperlahankan lariannya untuk menoleh ke belakang bagi melihat keberadaan lawannya.

BACA LAGI: Lepas hilang Safawi-Akhyar, Terengganu mungkin terpaksa lupakan khidmat bek muda

BACA LAGI: Susah nak puaskan hati semua orang, fans Sang Kenari sepakat lebih baik GTR Burger undur diri

Tindakan pelari berusia 16 tahun itu menyebabkan dia terlepas untuk naik ke podium dan akhirnya menamatkan saingan di tempat keempat dengan pertandingan itu dimenangi oleh atlet dari Sweden.

Pengulas yang bertugas untuk perlumbaan itu menggelar persembahan Odey-Jordan sebagai 'bencana' dan berharap atlet tersebut akan mengambil iktibar untuk tidak terlalu memikir pesaing lain.

"Apa yang berlaku di sini? Apa yang telah berlaku di sini? Ini adalah 'bencana' mutlak. Dia terlalu awal berserah kerana atlet muda itu semakin hampir untuk melepasinya sebelum garisan penamat.

"Ini akan menjadi satu pengajaran yang dipelajari dengan cara yang sangat, sangat sukar untuk memahami apa yang berlaku. Untuk 150m pertama, persembahan pecut yang bagus, namun, tindakan Jake Odey-Jordan membawa padah buat dirinya," kata pengulas itu.

Dalam pada itu, memetik laporan European Athletic, Odey-Jordan berkongsi bahawa dia masih yakin dengan prestasinya walaupun memperoleh keputusan yang tidak diingini.

"Ia adalah salah saya jadi saya tidak boleh bersedih tentang apa-apa selain menyalahkan diri saya sendiri. Ia telah berlaku. Saya masih berasa baik, ia bukan larian terpantas tetapi prestasi yang memberangsangkan.

"Saya baru di sini, ia adalah perlumbaan pertama saya pada pertandingan ini, saya hanya cuba untuk bangkit," katanya memetik laporan berkenaan.

Pelari pecut itu kini menduduki ranking ke-194 dunia dalam acara 200m lelaki. Bulan lepas, Odey-Jordan memenangi gelaran kebangsaan pada acara New Balance Nationals di Boston, Amerika Syarikat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram