Paris 2024: 'Debut' pengantin baharu buka langkah kemenangan Malaysia di gelanggang badminton


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Gandingan beregu campuran negara raih kemenangan sulung di Sukan Olimpik 2024. — BAM

GANDINGAN beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka langkah kanan buat negara di gelanggang badminton Sukan Olimpik 2024 selepas menewaskan wakil Singapura, Terry Hee-Jessica Tan pada Sabtu.

Dalam aksi pembukaan yang juga merupakan penampilan pertama mereka di temasya tersebut, gandingan Tang Jie-Ee Wei bermula dengan agak perlahan hingga terpaksa bertarung hingga ke deuce.

Hal ini dapat disaksikan apabila mereka ketinggalan 8-11 pada pertengahan set pertama.

BACA LAGI: Anggap perlawanan pertama Olimpik sangat penting, Roslin Hashim ramal potensi 3 beregu negara

BACA LAGI: Jangan hampa pulang tangan kosong, skuad badminton ada sasaran lebih besar di Olimpik

Namun begitu, pasangan pengantin baharu itu membaiki permainan hingga berjaya mendapatkan kedudukan 20-19. Akan tetapi, mereka gagal mendapatkan mata akhir hinggakan gandingan Singapura itu berjaya membawa set pertama kepada 21-21.

Mujur buat mereka apabila berjaya mendapatkan kemenangan set pertama pada 23-21.

Set kedua menyaksikan pasangan campuran itu mula 'panas enjin' dan menunjukkan permainan lebih baik berdepan pihak lawan.

Hasilnya, mereka mudah menyingkirkan cabaran gandingan Singapura itu dan kemudiannya menang set kedua 21-12.

Dua lagi aksi menarik menanti gandingan beregu lelaki dan wanita negara pada Sabtu dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang wakil Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy.

Sementara gandingan Pearly Tan-M. Thinaah berdepan tugas sukar menentang pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram